Home Artikel PAS Melaka

Kolumnis : Bina potensi OKU sumbang ekonomi keluarga dan negara

234
SHARE

Oleh : Aziah Md Saad

DI NEGARA-NEGARA barat, murid-murid bermasalah pembelajaran dilatih dengan baik dan berkesan sehingga mereka dapat menyumbang sesuatu untuk negara sebagai tenaga pekerja melalui matapelajaran Kemahiran Hidup.

Secara umumnya Kemahiran Hidup adalah merupakan satu mata pelajaran bercorak amali yang diajar di sekolah. Komponen yang terlibat adalah berkaitan dengan masakan, jahitan, pertanian dan penternakan.

Kelas Pendidikan Khas atau bengkel swasta adalah tempat yang terbaik untuk melatih kanak-kanak orang kelainan upaya (OKU) dalam bidang mata pelajaran Kemahiran Hidup. Ianya terpulang kepada kekuatan kepakaran yang ada pada kelas atau bengkel tersebut.

Komponen-komponen mata pelajaran Kemahiran Hidup

Dalam mata pelajaran Kemahiran Hidup – Kompenan Masakan, kanak-kanak ini diperkenalkan dengan peralatan di dapur seperti kuali, periuk, mangkuk, cawan, senduk, dapur dan sebagainya. Selain itu mereka juga diperkenalkan dengan bahan-bahan masakan seperti roti, telur, sardin, timun, majerin dan sebagainya.

Mereka diajar untuk penyediaan menu masakan Melayu, Cina, India dan barat. Asas-asas masakan mudah untuk disediakan oleh kanak-kanak OKU.

Bagi Kemahiran Hidup – Kompenan Jahitan pula, kanak-kanak OKU diperkenalkan dengan peralatan jahitan seperti jarum, benang, gunting dan bahan-bahan jahitan seperti kain. Biasanya mereka diajar membuat jahitan mudah dan hiasan yang mana hasilnya nanti boleh dijual.

Untuk Kemaniran Hidup- Kompenan Pertanian, kanak-kanak OKU diperkenalkan dengan peralatan seperti penyiram, pencakar, sudip, gunting pokok dan bahan-bahan pertanian seperti biji benih dan baja.

Tanaman yang biasa ditanam adalah daripada kategori pokok berdaun seperti daun pandan, daun kunyit, limau purut, sawi, bayam dan kangkung. Juga pokok berubi seperti serai, kunyit, lengkuas dan pokok berbuah seperti timun, terung dan cili.

Selain itu terdapat juga Kemahiran Hidup – Kompenan Penternakan. Dalam komponen ini kanak-kanak OKU diperkenalkan dengan peralatan penternakan seperti kandang, akuarium, alatan pembersihan kandang, bekas makanan, bekas air dan bahan-bahan penternakan terdiri daripada makanan berbentuk palet atau sisa tanaman.

Projek pertanian fertigasi cili hijau dan merah

Pada 2016 sehingga 2019, kami guru-guru Pendidikan Khas telah mempunyai pengalaman bersama dengan kanak-kanak OKU ini dalam membangunkan projek pertanian fertigasi cili hijau dan cili merah di sekolah di tengah-tengah Bandaraya Kuala Lumpur.

Kanak-kanak OKU ini sebenarnya boleh dilatih untuk menjalankan tugasan walaupun tidak sempurna mana, tapi mereka boleh buat. Sebagai ibu bapa dan guru pula kita haruslah bersabar dengan kerenah mereka.

Tanaman lada | Kredit foto : Google

Projek pertanian fertigasi ini terdiri daripada beberapa peringkat. Pada peringkat satu, pelajar-pelajar akan diminta untuk membersihkan tapak; memasang plastik hitam pada tapak tanaman; memasang paip dan tangki air; memasukkan cocopeat dalam plastik ‘polybag’ dan memastikan sistem air berjalan lancar.

Pada peringkat kedua pula, mereka perlu menyediakan tapak semaian dengan ‘petmoss’; menyemai benih; melakukan penyiraman setiap hari; memastikan sistem pengairan berjalan lancar; mencampur baja A dan B untuk dibancuh ke dalam tong biru.

Pada peringkat ketiga, mereka perlu memindahkan anak benih ke dalam ‘polybag’; tangki air boleh mendapat campuran baja A + B dengan sukatan yang betul; memasang tali plastik untuk kukuhkan kedudukan pokok dan cantasan daun-daun pada pokok.

Sementara pada peringkat empat mereka akan mula memetik cili hijau dan cili merah; membersihkan dan mengeringkan cili; menimbang dan membungkus cili; dan seterusnya kanak-kanak OKU ini akan menjual kepada guru-guru, pegawai sokongan dan ibu bapa Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) dan Aliran Perdana.

Rencana ini juga disiarkan di Harakah cetak bilangan 2622 bertarikh 5 Februari 2021

Pada peringkat terakhir iaitu peringkat lima, murid-murid OKU ini akan mengeringkan cili merah dan memproses cili-cili ini untuk membuat jeruk cili dan sos cili.

Kami juga memberi kursus kepada guru-guru PPKI sekolah lain dan ibu bapa PPKI agar ilmu itu boleh digunapakai untuk dimanfaatkan pada kehidupan harian kanak-kanak OKU dengan bantuan keluarga mereka.

Walaupun usaha yang dibuat adalah terlalu kecil tetapi ianya amat membantu kepada sesebuah keluarga untuk membangunkan pertanian bandar dalam skala kecil di rumah sendiri agar menampung keperluan makanan sesebuah keluarga.

Oleh itu setiap keluarga boleh memposisikan ahli keluarga mereka agar berperanan untuk bersama-sama membantu di saat getir Covid 19 dengan mengusahakan tanaman berdaun, berubi dan berbuah untuk memenuhi keperluan harian keluarga.

Skil untuk anak OKU menyumbang pada ekonomi keluarga

Pertanian adalah salah satu contoh untuk diusahakan oleh kanak-kanak OKU, malahan ada lagi usaha-usaha lain yang diperkenalkan dan dilatih pada kanak-kanak OKU untuk usahakan sesuatu projek ekonomi dengan bantuan keluarga. Kanak-kanak OKU ini disediakan geran untuk mereka memulakan perniagaan kecil-kecilan di rumah.

Kanak-kanak OKU sekolah menengah dipergiatkan lagi dengan projek yang mencabar seperti perusahaan makanan, dobi, penternakan ikan keli, jahitan beg hiasan dan sebagainya. Ada juga kanak-kanak OKU ini dilatih belajar sambil bekerja di kedai-kedai makan, di stesen minyak dan bengkel kereta motor.

Kanak-kanak OKU akan menjadi dewasa dan menjadi salah seorang ahli masyarakat dalam negara kita dan berilah peluang kepada mereka untuk meningkatkan potensi diri serta membantu membangunkan ekonomi negara.

Penulis adalah Ketua Dewan Muslimat PAS Melaka dan merupakan pesara guru pendidikan khas.



Hubungi agen Masjid Tanah Yong Tau Foo segera TEPEN FROZEN – Bahrum : 011-16964842