Home Berita PAS Kelantan

HSN peringkat Negeri Kelantan 2022 bakal berlangsung 7 hingga 9 Oktober

58
SHARE

KOTA BHARU, 5 Oktober: Pelaksanaan Hari Sukan Negara (HSN) Peringkat Negeri Kelantan akan diadakan bermula pada 7 sehingga 9 Oktober ini, sebanyak tiga puluh tujuh aktiviti dan acara sukan yang melibatkan beberapa lokasi utama antaranya di MYDIN Mall Tunjong Kota Bharu, di Kompleks Belia dan Sukan Negeri Kelantan dan seluruh daerah di negeri Kelantan bermula jam lapan pagi.

Pengarah Jabatan Belia Sukan Negari Kelantan Tuan Asmadi Mohamad berkata, antara acara golongan muda di HSN nanti termasuklah aktiviti Fun Walk, Fun Run, Fun Ride, Mega Aerobic Challenge dan paling istimewa penyertaan dari YB Timbalan Menteri Besar Kelantan yang akan bersama-sama dalam acara senaman tua yang dikhaskan kepada warga tua atau golongan berumur.

“Pelaksanaan program HSN ini diadakan pada bulan Oktober setiap tahun di seluruh negara, malah pada tahun ini, pelancaran peringkat Kebangsaan akan diadakan pada Sabtu ini di Putrajaya dan dirasmikan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia.

“Manakala bagi sambutan di peringkat daerah, komuniti, sekolah, serta jabatan sehinggalah kepada kementerian dijadualkan berjalan serentak pada waktu dan tarikh yang sama,”katanya pada sesi siaran langsung Segmen Fokus Isu Utama anjuran Urus Setia Penerangan dan Komunikasi Negeri Kelantan (UPKN) yang diadakan secara atas talian, semalam.

Selain itu, HSN juga bertujuan untuk merealisasikan hasrat dan inspirasi Kementerian Belia dan Sukan untuk menggalakkan serta menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang mempunyai rakyat sentiasa bersukan sehingga ia menjadi budaya hidup bagi setiap orang.

“Saya menyeru kepada semua, ayuhlah beramai-ramai turun ke padang dan melakukan aktiviti sukan bagi menyokong pelaksanaan Hari Sukan Negara seterusnya memenuhi hasrat kerajaan untuk mewujudkan Negara Bersukan,” tambahnya.