Home Ketua Penerangan PAS Pusat

Haramkan Dong Zong : Surat Terbuka Kepada Muhyiddin Yassin

14687
SHARE

Kenyataan Media
Parti Islam Se-Malaysia (PAS)

Haramkan Dong Zong : Surat Terbuka Kepada Muhyiddin Yassin

Dong Zong tetap tidak mahu membatalkan Kongres Pertubuhan China pada 28 Disember ini yang bertujuan membantah penggunaan tulisan Jawi dalam pembelajaran Sekolah Jenis Kebangsaan Cina walaupun perkara tersebut telah diputuskan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang bertarikh 28 November 2019.

Di bawah Seksyen 5 (1) Akta Pertubuhan 1966 Menteri Dalam Negeri berkuasa untuk “mengisytiharkan sebagai menyalahi undang-undang mana-mana pertubuhan yang pada pendapatnya adalah atau sedang digunakan bagi maksud yang memudaratkan atau yang bertentangan dengan kepentingan keselamatan Persekutuan, ketenteraman awam atau akhlak”.

Yang mendesak Dong Zong dan Jiao Zong diharamkan pun adalah pemimpin BERSATU, termasuk:
(1) Tan Sri Dr Rais Yatim, Pengerusi BERSATU Negeri Sembilan, yang berkata: “NGO khianat seperti ini tak perlu dibiarkan wujud di bawah Akta Pertubuhan 1966”.
(2) Pengerusi Biro Pendidikan BERSATU, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen, yang berkata:
‘Biro Pendidikan BERSATU Malaysia berpendapat, sudah tiba masanya untuk persatuan seperti Dong Zong dan Jiao Zong diharamkan.”
(3) EXCO ARMADA BERSATU, Muzzammil Ismail, yang berkata: “Kami mendesak supaya kumpulan pendidikan Cina Dong Zong dan Jiao Zong wajib diharamkan”.

Yang berkata bahawa Kongres Pertubuhan China anjuran Dong Zong dan Jiao Zong pada 28 Disember ini akan mendatangkan huru hara dan ketidakstabilan pun adalah Pengerusi BERSATU, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang juga adalah Perdana Menteri.

Malah, yang mahukan Dong Zong dan Jiao Zong diharamkan adalah sebahagian besar orang Melayu yang merupakan penduduk majoriti Malaysia, seperti terbukti dalam laporan polis yang dibuat oleh 40 NGO Melayu di Balai Polis Kajang semalam.

Jadi mengapa Presiden BERSATU yang juga Menteri Dalam Negeri masih belum mengambil apa-apa tindakan ke atas Dong Zong dan Jiao Zong sedangkan yang mahu tindakan diambil ke atas Dong Zong dan Jiao Zong adalah pemimpin BERSATU sendiri? Dan dimana suara Menteri Dalam Negeri dalam menangani keadaan ketidaktenteraman awam dan rusuhan yang bakal berlaku?

‘Islam Memimpin Perpaduan’
‘Muafakat Nasional, Membina Malaysia Sejahtera’

KAMARUZAMAN MOHAMAD
Ketua Penerangan
Parti Islam Se-Malaysia (PAS)
26 Disember 2019 | 29 Rabiulakhir 1441