Home Berita PAS Kelantan

Gotong royong ‘Kelantanku Bersih’ di Pantai Senok meriah

225
SHARE

BACHOK, 23 Jan: “Saya rasa begitu gembira dengan kehadiran tuan puan bersama dalam program pada pagi ini. Allah anugerahkan negeri Kelantan dengan bentuk muka bumi yang sangat indah dan cantik, bukit dan air terjun yang cantik, pesisir pantai yang indah lagi cantik dan kesemuanya itu untuk dinikmati oleh kita semua”, berucap Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan, YB Dr Izani Husin semasa merasmikan Program Gotong Royong Perdana di Pantai Senok Bachok semalam.

Beliau yang turut serta bergotong royong juga berharap, masyarakat negeri Kelantan akan berubah dari segi pemikiran dan sikap terutama dalam aspek kebersihan dan kecaknaan terhadap alam sekitar menurut apa yang dituntut oleh agama. Masyarakat juga perlu bersama kerajaan dalam menjadikan Kelantan sebagai negeri paling bersih suatu hari nanti di Malaysia.

Gotong royong ini melibatkan kira-kira 800 orang peserta yang dianjurkan oleh Majlis Daerah Bachok Bandar Pelancongan Islam (MDB-BPI) dengan kerjasama agensi-agensi kerajaan, wakil-wakil NGO, pelajar-pelajar IPT dan orang awam. Turut hadir sama YB Senator Dr Wan Martina Wan Yusoff merangkap Pengerusi NGO Misi Kembara Dakwah (MKD), ADUN Pantai Irama YB Mohd Huzaimy Che Husin dan Setiausaha MDB-BPI Mohd Ezazee Mohd Embong.