Home Berita PAS Terengganu

GISB : Satu Trauma dan Pelakunya Perlu Dihukum

99
SHARE

KUALA TERENGGANU – Seorang warga emas, Christine Rohani Longuet, 81, berkongsi cerita bagaimana dia menyelamatkan anak dan cucunya daripada terus terperangkap dalam gerakan Global Ikhwan Services and Business (GISB) Holding yang dahulunya dikenali sebagai Al-Arqam.

Dia yang kini menetap di Pulau Duyung mengakui tentang pendedahan cucunya yang juga pempengaruh Tik Tok, Sabrina Bolivar mengenai GISB adalah benar berdasarkan pengalaman hidupnya.

Menurutnya, apa yang berlaku dalam GISB adalah sangat menyedihkan hingga meninggalkan banyak trauma kepada anak dan cucunya.

“Apa yang saya boleh katakan ialah ketika itu berlaku satu bentuk pengabaian yang serius terhadap wanita dan kanak-kanak dalam gerakan tersebut  dan pelaku mesti diberi hukuman setimpal.

“Kalau boleh, biarlah lebih ramai yang tampil ke depan menceritakan pengalaman mereka bersama GISB seperti mana yang dilakukan cucu saya, Sabrina.

“Dia berani kerana menceritakan pengalamannya  yang berlaku sekitar tahun 1980-an dan saya percaya dia hanya mahu meluahkan kesedihan dan menghentikan simpati orang ramai terhadap GISB dengan apa yang berlaku ketika ini,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya dekat Pulau Duyong di sini semalam.

Rohani turut meminta agar lebih ramai individu dapat tampil bagi menceritakan pengalaman mereka bersama GISBH seperti mana yang dilakukan oleh cucunya.

Tangkap layar pendedahan pengalaman Sabrina Bolivar di TikTok

Terdahulu, Sabrina yang menetap di Paris membuat pendedahan mengejutkan mengenai ibunya, yang menjadi isteri keempat salah seorang ahli tertinggi GISB (dahulu dikenali sebagai Al-Arqam).

Menurut Sabrina, beliau melihat banyak pengabaian yang berlaku kepada ibunya semasa berada dalam organisasi tersebut sebelum diselamatkan oleh neneknya itu.

Bercerita lanjut, Rohani berkata, dia menyelamatkan anak dan cucunya dari sebuah rumah di Sungai Penchala, Selangor sekitar tahun 1980-an.

Menurutnya, dia melihat ada sesuatu yang tidak kena dalam sistem kekeluargaan yang diamalkan gerakan tersebut selepas anak memilih untuk berkahwin dengan salah seorang ahlinya.

“Kebajikan anak dan cucu saya  terabai menyebabkan saya berusaha keras mendapatkan bantuan kerajaan kerana tidak mahu mereka terus terperangkap dalam gerakan tersebut.

“Alhamdulillah, tindakan saya sangat tepat kerana setelah keluar dari tempat itu, semua cucu telah mendapat pendidikan sempurna dan kini bahagia dengan keluarga kecil masing-masing,”ujarnya yang petah bertutur dalam dialek Terengganu.

Rohani yang bakal menerima Ijazah Kedoktoran dalam bidang Etnobotani dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT) turut berkata mana-mana pihak terutama wanita dan kanak-kanak ditindas kerana mereka sepatutnya diberi pilihan untuk hidup bebas seperti insan biasa.