Home Berita PAS Kelantan

Galas tanggungjawab besar pada tahun 2023

481
SHARE

KOTA BHARU, 1 Jan: Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Pembangunan Keluarga dan Wanita YB Dato’ Mumtaz Md Nawi mengakui kehadiran Tahun Baharu 2023 Masihi disambut sebagai pelaksanaan tanggungjawab besar yang perlu dilakukan sebaik mungkin sebagai wakil rakyat dalam menyelesaikan masalah rakyat dengan penuh iltizam.

Katanya, setiap kali awal tahun muncul, setiap orang pasti membuat azam baharu yang mahu dilakukan. Namun bagaimana pula dengan amalan yang terdahulu adakah sudah diperbaharui ke arah lebih baik ataupun sebaliknya?

“Setiap hari, kita cuba buat yang terbaik kerana nyawa yang dimiliki hari ini belum tentu akan ada keesokkannya. Maka, apa bentuk khidmat yang perlu dilaksanakan hari ini harus diselesaikan dengan sebaik mungkin. Melangkah ke tahun 2023 sebagai Exco, Adun dan Ahli Parlimen adalah amanah yang perlu digalas sebaik mungkin. Semoga Allah pandu perjuangan ini dan diredhai oleh-Nya,” tulisnya dalam ruangan laman sosialnya.

Tambahnya, hidup ini umpama takwim dan sekolah dalam kehidupan. Maka sebagaimana pelajar perlu bersiap sedia dengan bukunya untuk memasuki darjah baharu, begitulah juga kita harus mempersiapkan ummah dengan menambah bekalan ilmu dan amal agar mampu menjadi golongan yang dicintai dan mencintai Allah SWT.

“Semoga Allah SWT menganugerahkan tahun 2023 hadiah yang tak ternilai ini dengan keberkatan dan keafiatan buat semua, maafkan segala kekhilafan sepanjang 2022,” ujarnya.