Kenyataan Media Penerangan. 177/48
16 Jamadil Akhir 1439 / 04 Mac 2018
FASTAQIM SIBER!
Oleh : Nasrudin bin Hassan
Ketua Penerangan PAS Pusat
https://m.facebook.com/kpenerangan
1. Sepanjang bulan Mac 2018, PAS menganjurkan Fastaqim Siber yang melibatkan siri pertemuan dengan pengendali media konvensional dan pengamal media baru dan kempen poster maya bagi menerapkan nilai Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) khususnya di ruang siber.
2. Kemuncak Fastaqim Siber adalah ‘himpunan maya’ yang akan mengumpulkan sekurang-kurangnya 200 ribu rakyat Malaysia bagi menyatakan sokongan terhadap budaya siber yang bertanggungjawab serta anti fitnah dan anti berita palsu (fake news).
3. Dapatan pusat penyelidikan IPSOS MORI 2017 menunjukkan Malaysia menduduki tangga ke-15 dari 38 negara yang merekodkan kadar salah-persepsi yang tinggi (Misperception Index 2017).
4. Dapatan ini membimbangkan atas dua faktor:
a) Malaysia antara negara yang penduduknya mempunyai akses media sosial tertinggi di dunia.
b) Rakyat Malaysia mudah terpengaruh dengan persepsi salah hasil dari bacaan dan akses mereka kepada media sosial yang tidak bertanggungjawab.
5. Hakikatnya penularan berita palsu adalah ancaman kepada keselamatan negara dan melemahkan integriti proses demokrasi. Kes-kes penularan berita palsu secara sistematik oleh anasir tertentu telah dikaitkan dengan proses pilihanraya di AS dan Britain antara lainnya.
6. Malaysia yang kini diambang PRU14 turut terdedah kepada ancaman serupa. Dan PAS merupakan parti politik yang paling teruk menerima fitnah dan ancaman fake news.
7. PAS mahu pendekatan yang seimbang di dalam menangani masalah ini. Sebarang undang-undang yang ingin diperkenalkan mestilah efektif tanpa menyekat kebebasan untuk bersuara.
8. Tindakan mesti dikenakan bukan sekadar kepada media alternatif juga terhadap media arus perdana sekiranya pemberitaannya adalah palsu.
9. Islam menggesa umatnya untuk ber-tabayyun (meneliti) berita yang datang khususnya sekiranya berita-berita tersebut datang dari sumber yang fasik.
10. Sekiranya datang berita yang meragukan, menjadi tanggungjawab kepada kita untuk tidak menjadi mata rantai yang menyebarkannya. Sebagai Mujahid Siber pula, kita mesti bangkit mempertahan maruah jamaah ini dengan menjawab fitnah-fitnah ini dalam lingkungan akhlak Islam.
Sejahtera Bersama Islam
Sekian