Home Artikel PAS Selangor

Krisis Politik Matangkan PAS Perintah Malaysia” Nik Amar

466 views
SHARE

BANDAR TUN HUSSEIN ONN, 4 Mac: “Krisis politik yang berlaku pada hari ini terutama yang berlaku di Selangor merupakan satu ilmu yang tiada dalam kelas.

“Ia membentuk kebijaksanaan dan mematangkan bacaan politik PAS. Ini merupakan persiapan awal yang disusun oleh Allah untuk PAS menjadi kerajaan pada masa akan datang”. Kata Naib Presiden PAS merangkap Timbalan Menteri Besar Kelantan, YB Dato’ Mohd Amar bin Abdullah semasa merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke 34 PAS Kawasan Serdang di Bandar Tun Hussein Onn (BTHO) hari ini.

“Sekiranya Allah memberikan kita kerajaan, kita telah mempunyai pengalaman yang berharga dan kebijaksanaan yang tinggi berdasarkan krisis politik yang kita alami.” Tambah beliau.

Beliau juga membawa perwakilan dan pemerhati untuk mengingati kisah Nabi Muhammad SAW yang ditarbiyah Allah dari kecil untuk menjadi pemimpin yang hebat.

“Kisah Rasulullah yang perit, menjadikan baginda seorang pemimpin yang hebat.

“Pengalaman baginda mengajar kita menyelami kesulitan rakyat, membentuk sifat tabah dan pergantungan yang tinggi kepada Allah.

“Dalam politik, jangan kecewa dengan cabaran kerana ia mematangkan kita untuk memerintah.

Beliau juga mengingatkan ahli PAS untuk mempergiat usaha meraih undi melayu sekiranya ingin memenangi Pilihanraya 14 (PRU-14) akan datang.

“PAS mensasarkan kemenangan 130 kerusi untuk menguasai kerajaan. Paling minimim kita perlu menang 40 kerusi supaya boleh memberi impak besar dan mengubah landskap politik Malaysia.

“40 buah kerusi tersebut bermaksud 4 negeri telah berjaya diperintah PAS dan ini sangat ditakuti UMNO dan Pakatan Harapan”

“Kita perlu bekerja keras supaya rakyat melayu menyokong PAS. Bawalah BPMS kepada ahli UMNO yang tidak mempercayai parti mereka.

“Gelombang penolakan UMNO semakin ketara hari ini walaupun ia tidak ditunjukkan di jalan raya. Tetapi, ramai ahli UMNO sudah tidak percaya dengan UMNO kerana parti itu bukan hanya gagal membela Islam dan melayu, malah ia gagal membela bangsa lain.

“Inilah peluang besar kita untuk membawa masyarakat kepada kesejahteraan Malaysia”.

Naib Presiden juga menegaskan Islam adalah pilihan terbaik berbanding ideologi lain dalam menyelesaikan masaalah masyarakat.

“Islam pilihan terbaik kerana ia rahmat seluruh alam. Kita ada AlQuran yang memandu kita.

“Sejarah membuktikan ideologi sosialis, komunis, kapitalis tidak mampu membawa kesejahteraan pada rakyat.

“China menolak kapitalis dan bertukar pada liberalis. Amerika yang mengamalkan sistem kapitalis menunjukkan 30 ribu rakyatnya menjadi gelandangan. Ini jelas semua ideologi gagal memberi kebaikan pada manusia”.

YB Nik Amar juga mengatakan PAS adalah parti terbaik pilihan rakyat kerana dasar PAS yang membawa kesejahteraan pada seluruh alam dan rekod bersih yang dibuktikan pemerintahan PAS terutama di Kelantan.

“Rakyat perlu memilih PAS kerana dasar PAS itu sendiri dan pemimpin yang amanah dalam memerintah.

“Rekod bersih yang ditunjukkan pemimpin PAS Kelantan dengan Indeks rasuah sifar adalah indikator kehebatan PAS dalam memerintah selama hampir 23 tahun.

“Berbeza dengan DAP di Pulau Pinang, terdapat laporan korupsi yang telah dilaporkan walaupun baru 2 penggal memerintah.”