Home Selangor

COVID 19 : Mudarat Itu Wajib Dihilangkan

1618
SHARE

Oleh : Muhammad Najhan Halim
AJK Dewan Ulamak PAS Pusat

  1. Wabak COVID 19 yang kini telah menjangkiti dan merebak seluruh dunia dengan catatan terbaru seramai 200 ribu kes termasuk sebahagiannya daripada Malaysia seramai 710 kes.
  2. Malah daripada jumlah kes seluruh dunia tersebut telah mengakibatkan kematian seramai ribuan manusia dan 2 orang daripadanya di Malaysia malah mungkin meningkat.
  3. Kerajaan Malaysia telah mengeluarkan beberapa pekeliling termasuklah antaranya penutupan Masjid dan surau daripada melakukan solat berjamaah dan solat Jumaat. Selain cadangan “Self Distance” atau jarak diri dengan pihak lain sekurang-kurangnya 1 meter selain larangan untuk program berbentuk himpunan orang ramai. Begitulah juga dengan arahan penutupan pejabat, premis atau lokasi yang tidak penting agar wabak ini tidak merebak.
  4. Pihak pakar ilmu perubatan dan kesihatan telah menyatakan bahawa COVID 19 mampu merebak dengan sentuhan antara manusia dan juga objek-objek yang disentuh oleh pesakit dan pembawa virus. Lebih dikhuatiri apabila dikatakan bahawa virus ini mampu bergerak di udara selama 2 jam. Ini menunjukkan tahap keseriusan dan bahaya akan wabak COVID 19 kepada manusia.
  5. Semua arahan dan ketetapan ini dibuat dengan penuh teliti oleh para pakar di bidang masing-masing termasuklah pendapat ini selari dengan hukum Islam dan kaedah-kaedah khusus dan umum.
  6. Disinilah perlu difahami bahawa Islam yang diturunkan di muka bumi adalah merupakan untuk membawa kesejahteraan buat manusia. Islam itu meletakkan konsepnya yang begitu jelas bahawa tiada ajaran Islam yang mengajar dan menunjukkan jalan kepada mudarat dan bahaya.
  7. Ini dilihat menerusi ayat-ayat Al Quran dan Hadis-hadis Nabi saw serta prinsip-prinsip hukum dalam syariat. Seumpama Maqasid Syariah (tujuan Pensyariatan Islam atau Matlamat Ajaran Islam) yang meletakkan 5 daruriyyah atau 5 kepentingan yang tidak boleh dikompromi dalam Islam.
  8. Memadai dengan satu kaedah yang jelas dan mudah menurut hukum Islam dan Kaedah Fiqh (Qawaid Feqah) bahawa mengelakkan dan mengambil tindakan mencegah termasuk mematuhi arahan pihak autoriti samada dalam Agama Islam dan juga Pihak Pemerintah ketika menghadapi kes COVID 19 yang merbahaya ini.
  9. Iaitu Kaedah Feqh ada menyebut الضرر يزال iaitu Mudarat Wajib Dihilangkan. Kaedah ini diakui oleh para ulamak sebagai salah satu kaedah dan prinsip ajaran Islam. Ia sudah tentu selari dengan Al Quran firman Allah SWT iaitu :

“… Janganlah kamu melakukan kerosakan dimuka bumi sesudah Allah memperbaikinya. .” surah Al A’raf ayat 56.

“.. Dan Allah tidak menyukai kerosakan ..” Surah Al Baqarah ayat 205

“.. Dan Allah tidak menyukai orang yang melakukan kerosakan …” Surah Al Maidah ayat 64

  1. Satu hadis daripada Ubadah bin Samit sabda Nabi saw iaitu ,
    لا ضرر ولا ضرار
    Maksudnya, “.. tidak boleh ada mudarat dan tidak boleh memudaratkan. .”

(Sahih oleh Ibnu Majah dan lain-lain.)

  1. Ayat Al Quran dan Hadis diatas diakui oleh para ulamak sebagai prinsip ilmu feqah Islam dan salah satu daripada asas-asas agama Islam. Ia bukanlah satu perkara yang boleh dianggap perkara enteng dan juga dianggap ringan.
  2. Sesuatu mudarat apabila dikenalpasti oleh pihak yang berkepentingan dan juga ahli pakar dalam sesuatu bidang, maka agama hendaklah mengambil inisiatif dan pendirian sehingga bertanggungjawab keatas para alim ulamak untuk meletakkan hukum wajib menghilangkan mudarat tersebut dan mencegahnya daripada berlaku.
  3. Daripada prinsip kaedah Wajib Menghilangkan Mudarat ini telah membentuk kaedah lain berkaitan antaranya :
    Yang pertama,
    الضرر يزال بقدر الإمكان

Maksudnya, “.. Mudarat itu Wajib dihilangkan dengan seberapa upaya yang mungkin ..”

Ini bererti bahawa sebarang usaha yang benar-benar serius dan efektif dengan sedaya upaya untuk menghilangkan mudarat dan juga bagi mencegahnya daripada berlaku adalah hukumnya wajib pada syarak.

  1. Yang kedua,
    الضرر الأشد يزال بالضرر الأخف
    Maksudnya, “.. Mudarat yang serius tidak dihilangkan dengan mudarat ringan ..”

Ini bererti bahawa sememangnya pada asalnya Islam melarang sebarang bentuk mudarat dan juga mendatangkan mudarat. Tetapi andai disana sekiranya bagi menghilangkan sesuatu mudarat besar sehingga terpaksa menimbulkan mudarat kecil maka Syariat mengharuskan mengambil mudarat kecil atau ringan demi menghapuskan dan mencegah daripada mudarat yang serius dan besar.

  1. Atas asas inilah maka kaedah dan prinsip Wajib Menghilangkan Mudarat itu diambil dan diletakkan pada kes COVID 19 dengan matlamat bagi mencapai salah satu prinsip dan tujuan ajaran Islam dan sebabnya diturunkan Al Quran iaitu Menjaga Nyawa Manusia.
  2. Arahan dan pekeliling penutupan Solat Jumaat dan Berjamaah di Masjid dan surau adalah menepati prinsip tidak mudarat dan mencegah mudarat. Ia menepati Syariat Islam. Sememangnya wajar dikuatkuasakan agar manusia tidak bersentuhan antara satu sama lain. Mungkin beranggapan bahawa tidak patut masjid sunyi daripada berjamaah dan tiada solat jumaat, namun disana mudarat yang didatangkan dalam mengerjakan ibadah sememangnya tidak dianjurkan dalam Islam. Tiada ajaran Islam mengajarkan umatnya beribadah sehingga mampu memudaratkan diri, ini jelas. Tambahan juga terdapat rukhsah (keringanan) dalam sesuatu kewajiban syariat dan ibadat sekiranya terdapat halangan yang nyata dan bukannya khayalan.
  3. Begitulah juga ketetapan agar manusia tidak bergerak ke satu tempat ke tempat lain melalui arahan Self Distance adalah juga menepati prinsip Mencegah Mudarat. Larangan berkumpul dan pertemuan sesama manusia mampu menyebabkan berlaku Kontak Manusia yang dikhuatiri akan berlaku penyebaran COVID 19.
  4. Ini juga termasuk penutupan pusat dan premis yang memungkinkan individu mahupun syarikat dan pejabat mengalami kerugian dari sudut kewangan dan ekonomi. Ini tidak dinafikan ia adalah mudarat jika dilihat dari sudut kepentingan duniawi yang juga satu daripada tujuan Islam iaitu Memakmurkan Bumi Allah. Akan tetapi, mudarat penyebaran dan wabak COVID 19 ini sehingga mampu mengambil nyawa manusia yang bukan jumlah yang sedikit tapi ramai adalah lebih prioritasnya dan lebih besar. Ia adalah kerana Memelihara Nyawa manusia merupakan keutamaan Maqasid sesudah Menjaga Agama dan lebih utama daripada Menjaga Harta.
  5. Perlu difahami bahawa sebagai Muslim yang mematuhi syariat ajaran Islam, mengelakkan mudarat dan berusaha untuk tidak melakukan mudarat bererti dia seorang muslim yang memilki jatidiri dan benar pada Aqidah dan Tawakkal. Ia tidak langsung menyanggahi sifat Iman dan juga sehingga mampu menjadi syirik kepada Allah. Bukankah Umar al-Khattab Ra telah menjawab kekeliruan ini tatkala beliau tidak memasuki ke negeri Syam sewaktu dilanda Taun? Apabila didakwa apakah Umar takut akan takdir Allah? Beliau menjawab dengan tegas berkata, ” Kami keluar dari Takdir Allah menuju ke Takdir Allah.

Janganlah kita lupa bertaubat kepada Allah dan insaf atas kesilapan serta dosa kita disamping berusaha memakmurkan bumi Allah sebaiknya dengan menghilangkan mudarat COVID 19 ini.

Semoga penjelasan ini sedikit sebanyak mencerahkan pemikiran kita menjawab sedikit daripada persoalan yang timbul di fikiran kita.

IslamMemimpin

MalaysiaSejahtera

Penulis juga merangkap Setiausaha Dewan Ulamak PAS Negeri Selangor
19 Mac 2020 bersamaan 24 Rejab 1441H.