Home Artikel PAS Selangor

Peruntukan ADUN : PAS Tulis Surat Kepada Istana, Mahu Siasatan Audit, SPRM

4,275 views
SHARE

Ditulis Oleh Zeanaaima Mohd Yusof

SHAH ALAM: PAS Selangor akan menulis surat kepada Istana Selangor serta menggesa Jabatan Audit Negeri dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat  penahanan peruntukan tahunan untuk ADUN parti itu.

Pesuruhjaya PAS Selangor, Sallehen Mukhyi berkata siri tindakan itu akan diambil dalam beberapa hari lagi selepas Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali masih enggan memberi kebenaran bertulis untuk ADUN PAS diberikan akses kepada dana itu.

Pembekuan RM800,000 untuk setiap wakil rakyat kerajaan negeri itu hanya melibatkan ADUN PAS dan dikatakan bertujuan mencantas khidmat mereka kepada penduduk setempat menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Sallehen berkata pihaknya sudah memberikan ruang secukupnya kepada Azmin untuk menyelesaikan kemelut itu tanpa melibatkan istana atau mana-mana pihak lain.

“Kita akan ambil beberapa langkah selepas ini, termasuk menulis surat kepada Tuanku (Sultan Selangor). Yang kedua, kita akan minta Jabatan Audit Selangor membuat satu siasatan.

“Kalau masih tiada penyelesaian, maka kita mungkin akan buat sedikit pengaduan kepada SPRM untuk melihat unsur-unsur salah guna kuasa di peringkat eksekutif (kerajaan negeri),” kata Sallehen dalam temubual eksklusif bersama Antarapos, semalam.

Sallehen berkata kemelut itu sudah masuk bulan ketiga kerana pejabat menteri besar enggan mengeluarkan arahan bertulis kepada pegawai daerah untuk meluluskan dana yang dituntut oleh ADUN PAS untuk projek-projek mesra rakyat di kawasan mereka.

“Dia (Azmin) mengarah (pegawai daerah) secara lisan sahaja. Itu bukan cara urus tadbir dalam sesebuah kerajaan.

“Pegawai daerah (hanya) akan mengikut arahan bertulis yang sedia ada. Tetapi dengan arahan secara lisan, pegawai daerah pun tidak boleh mengeluarkan (dana tersebut),” kata beliau.

Sallehen percaya keengganan Azmin mengeluarkan arahan bertulis itu dipengaruhi pertimbangan politik.

“Pejabat Daerah (kata) dia kena rujuk kepada MB.

Bila (rujuk) pada menteri besar, dia kata ia teknikal sahaja dan tolak balik pada pegawai daerah.

“Jadi ia semacam tolak-tarik, mungkin ia sengaja untuk melengahkan waktu sehingga Parlimen dan DUN bubar,” kata Sallehen.

Sallehen berkata siasatan Jabatan Audit Negeri dan SPRM perlu untuk mengenal pasti terdapat atau tidak kepincangan urus tadbir dan kemungkinan wujud penyelewengan kuasa melibatkan Pejabat Menteri Besar.

“Pengaduan kepada SPRM adalah untuk menyiasat sekiranya berlaku unsur salah guna kuasa di peringkat eksekutif dan pelaksana, kerana menjalankan arahan tidak bertulis,” kata beliau.

Menurutnya, Jabatan Audit Selangor pula perlu menyiasat dan mengambil tindakan ke atas ketidakpatuhan prosedur bayaran berikutan tidak ada arahan bertulis dari Pejabat MB Selangor untuk tindakan penahanan peruntukan itu.

PAS dan PKR sebelum ini bersetuju untuk terus bersama dalam kerajaan negeri sehingga PRU14, selaras dengan mandat yang diperolehi daripada pengundi pada pilihan raya lalu.

PRU 14 yang diramal akan diadakan dalam beberapa minggu saja lagi, dijangka menyaksikan persaingan sengit baik di peringkat DUN mahupun Parlimen.

Selain pencabar tradisinya Umno, PAS akan berdepan dengan PKR bersama sekutunya Amanah dan PPBM.

-ze-

Sumber : AntaraPos