JERLUN – Usaha pembangkang menggerakkan bantuan kepada rakyat yang terkesan akibat pandemik dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini dilihat lebih menjurus kepada publisiti politik semata-mata.
ADUN Ayer Hitam, Azhar Ibrahim berkata, selepas mereka bersungguh mengajak rakyat mengibarkan kempen bendera putih, tetapi kini mereka pula yang mengeluh dan merungut terhadap kempen itu.
“Mereka mendakwa rakyat mengambil kesempatan dan menipu untuk mendapatkan bantuan lebih dari kewajaran keperluan. Apakah kempen yang mereka sendiri cuba manipulasikan untuk dijadikan modal politik memburukkan kerajaan telah menjadi ‘senjata makan tuan’?
“Lantaran itu Kerajaan Negeri Kedah pimpinan YAB Menteri Besar, Haji Muhammad Sanusi Md Nor telah menggerakkan struktur dan mekanisme bantuan menerusi Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB).
“Ia diselaraskan di bawah Pejabat Daerah dengan penglibatan bersama banyak agensi kerajaan yang lain. Apapun, rakyat memerlukan tidak harus menjadi mangsa keadaan,” tegas beliau.
Menurut beliau yang mesra dipanggil Cikgu Azhar, tenaga kerja turut dilibatkan sebagai sukarelawan dari Pegawai ADUN-ADUN dan parti politik tanpa mengira bendera, malah peruntukan diagihkan sama adil ke semua Daerah.
Malangnya ujar bekas pendidik ini, ahli politik pembangkang telah berpakat untuk tetap menyemarakkan kempen bendera putih dan terus memanjangkan naratif salah lapor media terhadap Menteri Besar.
“Inilah yang ditegaskan sebagai meneruskan permainan dan sandiwara politik, sedangkan untuk menjayakan usaha memutuskan rantaian COVID-19 ini memerlukan kematangan dan kerjasama semua.
“Malah, Yang di-Pertuan Agong berkali-kali bertitah menasihati agar semua politiking ini dihentikan. Jika ini sikap pemimpin politik pembangkang, maka jelaslah mereka hanya memanipulasi kempen tersebut.
“Mereka juga cuba memperalat serta mengemosikan rakyat secara tidak sepatutnya untuk memburukkan kerajaan,” bidas beliau merujuk sokongan 13 ADUN pembangkang Kedah terhadap kempen itu.
Maka demikian kata beliau, ada baiknya melihat hakikat usaha telah dibuat pemimpin pembangkang sepanjang mereka berkuasa 22 bulan semasa menjadi Kerajaan Persekutuan dan juga Kerajaan Negeri sebelumnya.
“Ketika itu asyik diratib negara menanggung hutang yang besar serta diadakan bon-bon. Malang sekali nasib golongan rentan apabila Belanjawan 2019 ketika itu memotong dan menafikan peruntukan kepada petani, penternak dan nelayan terutamanya.
“Bantuan kredit yang paling popular ketika itupun hanya sebanyak RM30. Bayangkan jika mereka masih memerintah kini, apa yang rakyat akan dapat saat terdesak kini?
“Bagaimana agaknya corak pengendalian kes COVID-19 yang mereka remehkan? Mungkin perkembangan di Selangor boleh menjadi pengajarannya.
“Tetapi di bawah teraju YAB Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, rakyat menerima banyak inisiatif. Sudah ribuan ringgit bantuan secara tunai dan pertama kali dalam sejarah diterima rakyat hanya dalam tempoh setahun lebih ini.
“Itu tidak termasuk bantuan-bantuan fizikal seperti bakul makanan, penangguhan bayaran pinjaman atau moratarium serta pemotongan sewa, bayaran perjanjian mikro kredit dan sebagainya,” puji beliau.