Home Berita PAS Kedah

Kedah mohon tubuh Lembaga Pelabuhan, diberi hak kendalian

170
SHARE

ALOR SETAR – Kedah bakal memiliki sebuah pelabuhan di daerah Yan seperti diisytiharkan Kementerian Pengangkutan (MOT) di bawah Seksyen 5 dan 6 Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 bersama komponen pembangunan lain di kawasan tersebut pada 10 Mei lalu.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor memaklumkan demikian selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri secara atas talian di kediaman rasminya, di sini semalam.

Menurutnya, Kerajaan Negeri juga bersetuju memohon penubuhan Lembaga Pelabuhan Kedah (port authority) yang turut mengawal selia pelabuhan lain di seluruh negeri ini seperti Pelabuhan Telok Ewa Langkawi dan pelabuhan kecil lain di mana dikawal selia oleh Penang Port pada waktu ini.

Muhammad Sanusi turut menekankan Lembaga Pelabuhan Kedah nanti haruslah mengambilkira semua kepentingan negeri ini, termasuk sebahagian kutipan cukai dan fee berkaitan yang harus diberikan kepada Kedah.

Cadangnya, Kerajaan Negeri Kedah perlu dilibatkan dalam semua rancangan berkaitan Pelabuhan Yan dan pembangunan masyarakat setempat menjadi agenda penting pembangunan ini.

“Antaranya ialah isu-isu alam sekitar, batas sempadan pelabuhan, pembangunan bahagian daratan, pembangunan komponen lain di kawasan tebabit harus selari dengan Pelan Pembangunan Kedah 2035,” ujar beliau.

Sebagai rekod, MOT menyatakan Suatu Had Pelabuhan juga telah diisytiharkan di dalam warta sama, melibatkan keluasan perairan 600 kilometer persegi dengan mengambil kira jarak sejauh 20 batu nautika dari pantai di bawah ordinan tersebut.

Pihak Berkuasa Pelaksana Koridor Utara (NCIA) selaku agensi yang bertanggungjawab ke atas pembangunan Wilayah Utara berhasrat untuk melakukan aktiviti perkapalan dan pembangunan di pesisiran Pulau Bunting yang terletak di perairan Yan.

Pelabuhan itu akan dikawal selia oleh Jabatan Laut Malaysia (JLM), selaku agensi utama di bawah MOT yang bertanggungjawab mengawal selia isu-isu berkaitan perkapalan dan keselamatan pelayaran termasuk pelabuhan.

MOT turut menyatakan pembinaan tersebut bakal dapat menyokong pembangunan industri perkapalan serta memajukan sektor pelancongan di samping menjana ekonomi negara dan negeri Kedah