Home Khas

Bantu Kukuhkan Literasi Kewangan Penjawat Awam

91
SHARE


KENYATAAN MEDIA
BANTU KUKUHKAN LITERASI KEWANGAN PENJAWAT AWAM


Saya mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada pihak Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti khususnya Jaringan Pendidikan Kewangan kerana telah melancarkan program yang sangat bermanfaat iaitu, “Strategi Literasi Kewangan Kebangsaan 2019-2023” di Sasana Kijang, minggu lepas. Program yang sangat dinantikan bagi mendidik rakyat Malaysia hal ehwal kewangan peribadi supaya tidak terjerat dengan pemasalahan kewangan seperti hutang tidak terkawal dan ancaman riba’.

Saya tertarik dengan maklumat mengenai hutang isi rumah yang telah disentuh oleh YAB Perdana Menteri. Berdasarkan maklumat terkini, hutang isi rumah rakyat telah mencecah 82.1% daripada KDNK. Risiko hutang isi rumah perlu dikawal supaya tidak menjejaskan kestabilan kewangan negara. Perkara yang ingin difokuskan ialah tahap hutang isi rumah dalam kalangan para penjawat awam yang mencakupi satu perlima daripada hutang isi rumah.

Data terakhir yang dilaporkan oleh Bank Negara Malaysia pada bulan Februari 2018 menunjukkan jumlah terkumpul hutang isi rumah penjawat awam adalah sebanyak RM 236 bilion. Ia bersamaan dengan 20% daripada keseluruhan hutang isi rumah dan 17% daripada KDNK. Berdasarkan pemprofilan peminjam, 97% daripada 1.26 juta penjawat awam telah berhutang dan 62% daripadanya meminjam daripada Institusi Kewangan Bukan Bank (IKBB).

Sebanyak 64% peminjam dalam kalangan penjawat awam tersebut berpendapatan kurang daripada RM5,000 sebulan. Sebahagian besar hutang berisiko (42%) terdiri daripada penjawat awam yang berpendapatan antara RM3,000 hingga RM5,000, manakala 38% daripada penjawat awam yang berpendapatan antara RM5,000 hingga RM10,000. Isu yang membimbangkan ialah perolehan pinjaman (kredit) yang sangat tinggi daripada IKBB, daya tahan kewangan lemah dan risiko kewangan yang besar.

Pada Mac 2017, Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) mendedahkan kenaikan hutang isi rumah banyak disumbangkan oleh sektor pinjaman/pembiayaan peribadi yang diberikan oleh IKBB dan koperasi (shadow banking system). Sasaran utama mereka adalah golongan penjawat awam. Lebih 80% hutang yang diberikan oleh IKBB adalah kepada penjawat awam yang berpendapatan kurang RM 3,000 sebulan.

Oleh itu, saya bersetuju secara prinsip untuk menggubal Akta Kredit Pengguna bagi mengawal selia kepentingan pengguna khususnya penjawat awam. Rangka kerja pengawasan kredit perlu diurus secara sistematik dan lebih berkesan dengan mengambil kira semua faktor kritikal terutama yang melibatkan literasi kewangan, pengunderaitan IKBB, penilaian nisbah khidmat hutang (DSR) dan perlindungan data peribadi.

Sekian, terima kasih.

TUAN IBRAHIM BIN TUAN MAN
Timbalan Presiden PAS
Ahli Parlimen Malaysia (Kubang Kerian)
26 Zulkaedah 1440 | 29 Julai 2019