Home Berita PAS Kelantan

Bajet 2020 : Sudut pandangan yang merisaukan

1430
SHARE

Bajet 2020 telah selesai dibentangkan oleh Menteri Kewangan dua hari lepas. Sebagaimana biasa, sejak dari dahulu lagi iaitu daripada zaman pemerintahan Kerajaan BN hingga sekarang, banyak perkara positif yang dibentangkan kepada rakyat oleh sesebuah Kerajaan. Namun, terdapat juga perkara-perkara tersirat yang dibuat oleh Kerajaan yang mempunyai agenda tertentu dan tidak menguntungkan keseluruhan rakyat.

Bajet 2020 meskipun telah memberikan sedikit kelebihan kepada kaum Bumiputera, namun masih lagi belum mencukupi untuk membantu Bumiputera yang agak ketinggalan berbanding bangsa lain dan masih belum lagi memenuhi kontrak sosial yang mesti memberikan keistimewaan khusus kepada Bumiputera dan ini telah disepakati oleh semua kaum sejak sebelum kemerdekaan lagi.

Defisit dalam Bajet 2020 juga terus bertambah yang meneruskan tradisi belanjawan negara sebelum-sebelum ini. Melalui Bajet 2020, defisit belanjawan negara adalah lebih RM 55 Bilion. Manakala hutang negara sudah semestinya akan semakin bertambah secara mendadak. Sejak 15 bulan PH memerintah negara, lebih RM 100 Bilion hutang negara bertambah dan pada tahun 2020, hutang ini akan terus meningkat secara mendadak. Hal ini tidak baik untuk perkembangan ekonomi negara dan ia sudah pasti memberikan impak negatif kepada rakyat.

Punca pendapatan negara pula mendapati sebanyak 77% (RM 189.9 Bilion) pendapatan negara untuk tahun 2020 adalah hasil daripada Cukai. Kebanyakan sumber cukai ini pula dikenakan kepada semua rakyat tanpa mengira miskin, sederhana, sederhana kaya mahupu kaya raya. Ia sudahtentu akan mengikat dan memberikan kesan langsung kepada semua rakyat. Dengan Cukai SST yang masih lagi dilaksanakan dan beberapa pengenalan Cukai baharu seperti Cukai Digital, ia akan merencatkan kehidupan rakyat. Sepatutnya, Kerajaan perlu memikirkan keadah percukaian yang bahawa yang menumpukan kepada golongan kaya raya seperti memperkenalkan Cukai Korporat sebagaimana yang diutarakan oleh PAS pada PRU 14.

Bajet 2020 juga terus menampakkan kepada kita bahawa PH akan terus memungkiri janjinya pada PRU 14. Peluang pekerjaan sebanyak 1 juta, gaji minimum, turun harga minyak, pendidikan percuma, tol percuma dan sebagainya hanyalah kosmetik dan janji palsu untuk memenangi PRU 14. Betullah kata Mahathir bahawa Manifesto PH bukanlah ‘Kitab Suci’ dan ‘kami janji yang luar biasa kerana kami tidak yakin untuk memenangi PRU 14’. Justeru, tahap kekencingan PH akan meningkat dan bertambah untuk tahun 2020 ini.

Paling membimbangkan dan mengancam kedaulatan negara adalah apabila diturunkan paras harga daripada RM 1 Juta kepada RM 600,000.00 untuk Warganegara Asing memiliki rumah di negara kita. Impak kedaulatan kepada negara cukup besar selain memberikan kesan kepada peningkatan harga rumah dan kemampuan golongan miskin dan sederhana untuk memiliki rumah. Kerajaan PH wajib menarik balik dasar ini kerana kesan negatifnya amat besar.

Manakala Kelantan terus dianaktirikan di dalam Bajet 2020. Pembayaran Royalti, Lebuh Raya, projek-projek khusus dan sebagainya kepada Kelantan tidak dinyatakan di dalam Bajet 2020. Janji dan pengumuman 5 projek mega Azmin Ali sebagai Pengerusi Majlis Tindakan Negeri Kelantan nampaknya akan menjadi janji kosong sahaja. Samada ia tidak boleh ditunaikan sepenuhnya ataupun tidak akan ditunaikan. Sebaliknya Lim Guan Eng menggunakan kuasanya sebagai Menteri Kewangan untuk kepentingannya dengan membawa projek Cable Car yang berjumlah RM 100 juta ke Bukit Bendera di Pulau Pinang yang mana pada kita tidak mempunyai keperluan mendesak kerana Bukit Bendera telahpun maju dan mempunyai pelbagai kelengkapan serta kemudahan.

Tegasnya, kita sebagai rakyat mengharapkan Bajet 2020 adalah lebih baik dan adil kepada semua. Pelaksanaannya pula mesti dilakukan secara telus, berhemat, tidak boros dan mengambilkira semua faktor. Kita tidak mahu, pelaksanaannya tiris, menyeleweng, berpihak, berkroni dan yang lebih buruk meninggalkan mereka yang mesti dibantu. Oleh itu, mesti ada roh Islam dan Iman kepada pelaksana yang melaksanakan apa jua polisi, perancangan, bajet yang ditetapkan. Justeru amat penting kepada semua untuk kita letakkan amanah kepimpinan negara pada masa akan datang kepada orang-orang yang bertaqwa kepada Allah.

#Demi Islam.
#Islam Memimpin Perpaduan.

Cikgu Mohd Ariff Abdullah
Ketua Pemuda Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan.
13 Oktober 2019

Sumber: https://www.facebook.com/mohdariff.abdullah.5/posts/2581917871869230