Home Artikel PAS Kelantan

Atlet wanita jangan dedah aurat

391 views
SHARE

KOTA BHARU – Kerajaan Kelantan mengingatkan semua atlet negeri ini untuk meningkatkan beberapa perkara berkait dengan etika dan kepatuhan syariat dalam bersukan.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, Islam tidak membenarkan permainan dan sukan yang mendorong rangsangan seksual dan menggalakkan kejatuhan moral khususnya kepada golongan wanita.

Menurutnya, wanita yang terlibat dengan riadah mahupun sukan hendaklah menjaga tatatertib digariskan agama bagi menjaga kehormatan.

“Saya yakin Majlis Sukan Negeri selepas ini akan menetapkan peraturan dan garis panduan yang bersesuaian supaya selaras dengan tuntutan agama.

“Ketika bersukan, mereka dilarang mendedahkan aurat semasa ia turut melibatkan lelaki. Mereka dilarang bergaul mesra dengan lelaki sehingga melanggar batas pergaulan dibenarkan,” katanya.

Beliau hadir menyampaikan insentif kepada 103 atlet negeri yang meraih pingat dalam enam kejohanan sukan tempatan dan antarabangsa di Kompleks Kota Darul Naim.

Mereka yang diraikan memperoleh kejayaan dalam Sukan Asia Jakarta 2018, Sukan Paralimpik Asia Jakarta 2018, Sukan Paralimpik Asean Kuala Lumpur 2017, Sukma Perak 2018, Sukma Paralimpik Perak 2018 dan Sukan Orang Pekak Malaysia 2018.

Hadir sama pada program berlangsung di Kompleks Kota Darul Naim ialah, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO, Wan Roslan Wan Hamat.

Dalam perkembangan sama, Ahmad berkata, Kelantan sentiasa prihatin dan mementingkan masa depan sukan negeri ini termasuklah atlit paralimpik dengan memberikan insentif serta sebagainya.

“Jika mahu memiliki ahli sukan yang ramai sudah pastinya kemudahan perlu dipertingkatkan. IsnyaALLAH kerajaan akan bekerjasama dengan kementerian bagi memastikan prasarananya dapat dipertingkatkan,” katanya.

Selain itu, Ahmad juga mahu masyarakat memperbetulkan persepsi terhadap sukan yang mana beranggapan ia tidak memberikan sebarang kesan ataupun tiada prospek ekonomi.

“Sukan ini sama juga seperti kerjaya lain, jika dilakukan dengan betul dan sistematik ia berupaya naikkan nama negeri dan negara serta dapat menyumbangkan sumber kewangan kepada pemain sukan,” katanya.– SINAR HARIAN 19/12/2018

http://www.sinarharian.com.my/edisi/kelantan/atlet-wanita-jangan-dedah-aurat-1.917131