Home Artikel PAS Pulau Pinang

Muslimat PAS Nibong Tebal Ambil Ibrah Peristiwa Memali

242 views
SHARE

Oleh: Nurah Maisarah

Baling, 16 Nov: Dewan Muslimat PAS Kawasan Nibong Tebal telah mengadakan satu lawatan ilmiah ke Baling Kedah Ahad lalu. Lawatan yang diberi nama Jaulah Tarbawi Memali itu telah disertai oleh seramai 52 orang peserta yang terdiri daripada pelbagai peringkat umur.

Kunjungan rombongan dari Nibong Tebal ini telah disambut oleh Dewan Muslimat PAS Kawasan Baling yang turut dihadiri oleh Timbalan Ketua Dewan Muslimat Pas Kawasan Baling , Ustazah Hapsah Abdullah.

Bertepatan dengan nama lawatan ini rumah bersejarah tragedi Memali telah dijadikan sebagai destinasi pertama. Turut hadir beberapa orang balu kepada para syuhada Memali termasuklah balu kepada As-Syahid Ustaz Ibrahim Libya, Pn Solehah Husin.

Peserta rombongan turut berpeluang melihat sendiri kesan tinggalan tembakan peluru hidup pada pondok pengajian milik As-Syahid Ustaz Ibrahim Libya. Selain itu juga, sesi penerangan dan soal jawab juga telah disampaikan oleh Ustaz Yusof Che Mid, Mudir Madrasah Islahiah Diniah yang turut berada di tempat kejadian 33 tahun lalu.

Dewan Muslimat PAS Kawasan Nibong Tebal juga telah menyampaikan sedikit cenderahati dan barang keperluan harian kepada balu-balu syuhada Memali. Menurut Pn. Norlia Yusuf selaku Ketua Dewan Muslimat Kawasan Nibong Tebal  antara objektif jaulah ini adalah untuk meningkatkan semangat perjuangan untuk menegakkan Islam dengan mengambil ibrah daripada Tragedi Memali.

Dewan Muslimat PAS Kawasan Nibong Tebal juga telah memilih Madrasah Misbah Al-Falah (Pondok Lanai) sebagai salah satu destinasi lawatan kali ini. Peserta rombongan diberi peluang untuk memahami sistem pondok yang diperkenalkan di madrasah ini.

Turut hadir bersama ialah Ustaz Mohd Mukhtar Omar Zuhdi, Pengetua madrasah sekaligus mewakili madrasah bagi menerima sumbangan dan bantuan keperluan harian kepada warga emas yang mengikuti pengajian di madrasah itu.

Rombongan juga berkesempatan untuk melawat Bengkel Jahitan yang diusahakan oleh Dewan Muslimat PAS Kawasan Baling serta menziarahi perkuburan para syuhada Memali.