Home Minda Presiden

APABILA DAP CAMPUR URUSAN ISLAM

34
SHARE

Minda Presiden PAS
[Bil: 7 / 2025]

APABILA DAP CAMPUR URUSAN ISLAM


Jika ingin diterima secara positif, ini menunjukkan bahawa DAP juga membaca berkenaan Islam, termasuk membaca sejarahnya yang sangat dialu-alukan. Namun demikian, pembacaan itu mestilah dilakukan secara jujur dan ikhlas, dengan niat ingin mencari kebenaran dan kebaikan. Bukannya mencari keburukan tanpa hujah yang benar dan mendalam.

Hendaklah dibaca keseluruhan ajaran Islam yang tidak sama dengan makna perkataan agama atau religion dalam pelbagai bahasa selain bahasa al-Quran. Adapun perkataan Islam sebenarnya adalah daripada perkataan al-din dalam bahasa Arab (bahasa al-Quran).

Kemudian, hendaklah dibaca sejarahnya pula. Bermula dari zaman Rasulullah SAW yang melahirkan para khalifah, raja yang adil dan para pemimpin yang berjaya dalam segala lapangan, sehingga melahirkan tamadun Islam yang berjasa kepada seluruh dunia.

Semuanya mestilah dibaca secara keseluruhan daripada sumber ajaran Islam sebenar yang asal, daripada kitab sucinya (al-Quran) dan kenyataan rasul yang membawanya (Sunnah). Kalau bukan sumbernya yang sebenar, maka tidak lengkap dan tidak tepat dengan hakikatnya yang sebenar. Maklumatnya tidak sempurna dan salah, sehingga boleh berlaku salah faham terhadap Islam dan umatnya.

Hal ini bagi menolak maklumat fitnah dan dusta terhadap Islam oleh musuhnya dan orang yang jahil berkenaannya, sehingga mencipta Islamofobia yang bohong dan zalim. Sebagaimana penulisan para orientalis dalam kalangan penjajah yang selalu memberi gambaran yang salah kerana fanatik permusuhannya terhadap Islam.

Begitu juga orang Islam yang jahil yang tidak lengkap pengetahuannya tentang ilmu Islam. Mereka memberikan gambaran yang tidak sempurna terhadap Islam, sehingga merosakkan wajah Islam sebenar yang membawa rahmat dan adil kepada semua manusia.

Termasuk juga pelaksanaan Islam yang dirosakkan oleh penjajah pada zaman penjajahan yang sengaja mahu merosakkan wajah Islam dan penganutnya.

Islam yang dinyatakan dalam Perlembagaan Persekutuan tidak sempurna dan cacat kerana ia digubal oleh Suruhanjaya Reid. Ia tidak lengkap, dan tidak menepati makna dan objektif Islam yang sebenar. Hal ini demikian kerana, ahli suruhanjaya tersebut terdiri daripada kalangan bukan Islam serta orang yang jahil agama dan berfikiran Barat.

Sehinggakan, terdapat undang-undang ciptaan manusia yang lemah, tetapi diberi jenama Islam kepadanya. Firman Allah SWT:

فَوَيۡلٞ لِّلَّذِينَ يَكۡتُبُونَ ٱلۡكِتَٰبَ بِأَيۡدِيهِمۡ ثُمَّ يَقُولُونَ هَٰذَا مِنۡ عِندِ ٱللَّهِ لِيَشۡتَرُواْ بِهِۦ ثَمَنٗا قَلِيلٗاۖ فَوَيۡلٞ لَّهُم مِّمَّا كَتَبَتۡ أَيۡدِيهِمۡ وَوَيۡلٞ لَّهُم مِّمَّا يَكۡسِبُونَ ٧٩

“Maka, kecelakaan yang besarlah bagi orang-orang yang menulis al-Kitab dengan tangan mereka sendiri, lalu mereka mengatakan, ‘Ini daripada Allah,’ (dengan maksud) untuk memperoleh keuntungan yang sedikit dengan perbuatan itu. Maka, kecelakaan yang besarlah bagi mereka, akibat apa-apa yang ditulis oleh tangan mereka sendiri, dan kecelakaan yang besarlah bagi mereka, akibat apa-apa yang mereka kerjakan!” [Surah al-Baqarah: 79]

Apabila pembacaannya tentang Islam tidak sempurna, laporan yang dikeluarkan atau cara pelaksanaannya juga salah. Maka, gambarannya terhadap Islam bukan dengan gambaran sebenar dan berlakunya kefahaman yang salah terhadap Islam.

Pelaksanaan Islam tertegak atas prinsip aqidah yang teguh dan tidak boleh dipesongkan. Hal ini demikian kerana, keteguhan dan istiqamahnya atas jalan yang betul daripada Allah dan Rasul pilihan Allah yang disebut dalam kitab suci pelbagai agama, serta kajian ilmuwan yang menunaikan amanah ilmu.

Adapun prinsip dan rukun Islam bersifat tetap tidak berubah dalam aspek naluri (fitrah) dan dasar umum. Apa yang berbeza ialah pelaksanaannya kerana zaman yang berbeza dan berubah. Masyarakat yang berlainan juga perlu diambil kira dalam kehidupan manusia yang bermasyarakat dan bertamadun, kerana perbezaan masa dan tempat.

Islam merupakan ilmu Allah Yang Maha Mengetahui dan bersifat sempurna. Maha Suci Allah daripada segala sifat kekurangan dan kelemahan, bukan seperti ilmu manusia yang terbatas dan banyak kelemahannya.

Pada dasarnya, Islam mengekalkan semua yang baik dan menolak yang buruk daripada seluruh dunia. Hal ini demikian kerana, al-Quran telah mengarahkannya, sebagaimana
firman-Nya:

ٱلَّذِينَ يَسۡتَمِعُونَ ٱلۡقَوۡلَ فَيَتَّبِعُونَ أَحۡسَنَهُۥٓۚ أُوْلَـٰٓئِكَ ٱلَّذِينَ هَدَىٰهُمُ ٱللَّهُۖ وَأُوْلَـٰٓئِكَ هُمۡ أُوْلُواْ ٱلۡأَلۡبَٰبِ ١٨

“Mereka yang mendengarkan perkataan, lalu mengikuti apa yang paling baik antaranya; mereka itulah orang-orang yang telah diberi Allah petunjuk dan mereka itulah orang-orang yang mempunyai akal.” [Surah al-Zumar: 18]

Sabda Rasulullah SAW:

‌الْحِكْمَةُ ‌ضَالَّةُ ‌الْمُؤْمِنِ، حَيْثُمَا وَجَدَهَا فَهُوَ أَحَقُّ بِهَا.

“Hikmah (kebijaksanaan) itu laksana barang yang tercicir kepunyaan orang yang beriman. Di mana-mana sahaja ia dijumpai, maka dialah yang berhak memilikinya.” [Riwayat al-Tirmizi, Sunan al-Tirmizi, Abwab al-‘Ilm, No. 2687, dan Ibn Majah, Sunan Ibn Majah, Kitab al-Zuhd, No. 4169, daripada Abu Hurairah. Lafaz bagi Ibn Majah]

Islam mengekalkan semua yang baik seperti ilmu yang memberi manfaat dan budaya asal daripada semua bangsa di negara yang dimasukinya dan bangsa yang menganutinya.

Dalam Islam, ada ajaran yang tetap tidak berubah dinamakan al-thawabit. Ada pula yang boleh diubah dinamakan al-mutaghayyirat kerana perbezaan dan perubahan situasi, serta realiti yang menjadi sifat sejagat.

Apabila ilmu Islam diambil daripada sumber yang salah, akibat salah kefahamannya, maka Islam dikenali dengan tidak sempurna dan menyeluruh. Keadaan ini laksana cerita kumpulan orang buta yang mengenal gajah dengan masing-masing meraba-raba anggota yang dirasainya secara terhad.

Maka, ada yang menyangka gajah seperti tali kerana meraba ekornya sahaja, ada yang mengatakan gajah seperti kipas kerana meraba telinganya sahaja, sehingga menyebabkan ilmunya salah. Samalah juga sesat berkenaan Islam kalau tidak mengkajinya secara menyeluruh daripada sumber asalnya.

Begitu juga aspek pelaksanaan Islam yang berjaya sepanjang sejarah keemasan kerana ajarannya merangkumi seluruh aspek kejadian manusia. Bermula dari aspek individu merangkumi jasad, roh dan akal, sehinggalah masyarakat yang bernegara dalam aspek politik, ekonomi, pendidikan dan lain-lain. Sehingga akhirnya berjaya membentuk masyarakat madani yang berilmu, berakhlak dan bermaruah hasil pelaksanaan Islam yang sempurna.

Bermadani ialah sifat fitrah (naluri semula jadi) manusia yang wajib bermasyarakat dan berilmu pengetahuan tanpa mengira betul ataupun salah. Namun begitu, fitrah itu dibetulkan oleh Islam melalui petunjuk Allah. Seterusnya, ia dilaksanakan mengikut Islam yang sempurna dengan penyelarasan yang istiqamah, tepat dan berhikmah.

Tujuannya adalah supaya dapat mencapai hikmah penciptaan manusia, sebaliknya kalau salah daripada tujuannya boleh membawa kerosakan. Firman Allah SWT:

…إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُغَيِّرُ مَا بِقَوۡمٍ حَتَّىٰ يُغَيِّرُواْ مَا بِأَنفُسِهِمۡۗ وَإِذَآ أَرَادَ ٱللَّهُ بِقَوۡمٖ سُوٓءٗا فَلَا مَرَدَّ لَهُۥۚ وَمَا لَهُم مِّن دُونِهِۦ مِن وَالٍ ١١

“…Sesungguhnya, Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum, sehingga mereka merubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki keburukan terhadap sesuatu kaum, maka tidak ada yang dapat menolaknya; dan sekali-kali tidak ada pelindung bagi mereka selain Dia.” [Surah al-Ra‘d: 11]

Sejarah pelaksanaan Islam tidak boleh dipetik di tengah-tengah jalan sahaja secara sebahagian dan berpandukan satu zaman sahaja. Seperti hanya memetik zaman Khalifah ‘Umar bin al-Khattab atau zaman ‘Umar bin ‘Abdul ‘Aziz sahaja tanpa mengambil kira zaman Rasulullah SAW yang melahirkan para pemimpin selepasnya dan sepanjang zamannya.

Kedudukan Islam di Malaysia adalah hak penganutnya. Demikian juga, beberapa hak istimewa Melayu dan Bumiputera berasaskan kedudukan sejarah dan demografi, serta agama Islam yang dianut oleh bangsa Melayu yang mendominasi penduduknya.

Menurut sejarah, Islam yang asal telah bertapak di rantau ini sejak beberapa abad dan datang secara berdaulat. Keadaan ini berlaku apabila penduduk asalnya, khususnya Melayu memeluk Islam, sehingga perkataan Islam dan Melayu menjadi seerti dalam penggunaan masyarakat. Mengikut pemahaman masyarakat, setiap Muslim itu Melayu walaupun bukan daripada bangsa Melayu. Adapun Melayu yang murtad dikira bukan Melayu lagi.

Negara juga ikut diislamkan, bukan sahaja manusia dan masyarakatnya. Malah, Islam meletakkan raja-raja berdaulat sebagai ketua-ketua rakyat bersama para ulama’ yang dinamakan ulu al-amr. Firman Allah SWT:

۞إِنَّ ٱللَّهَ يَأۡمُرُكُمۡ أَن تُؤَدُّواْ ٱلۡأَمَٰنَٰتِ إِلَىٰٓ أَهۡلِهَا وَإِذَا حَكَمۡتُم بَيۡنَ ٱلنَّاسِ أَن تَحۡكُمُواْ بِٱلۡعَدۡلِۚ إِنَّ ٱللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُم بِهِۦٓۗ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ سَمِيعَۢا بَصِيرٗا ٥٨ يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ أَطِيعُواْ ٱللَّهَ وَأَطِيعُواْ ٱلرَّسُولَ وَأُوْلِي ٱلۡأَمۡرِ مِنكُمۡۖ فَإِن تَنَٰزَعۡتُمۡ فِي شَيۡءٖ فَرُدُّوهُ إِلَى ٱللَّهِ وَٱلرَّسُولِ إِن كُنتُمۡ تُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ وَٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأٓخِرِۚ ذَٰلِكَ خَيۡرٞ وَأَحۡسَنُ تَأۡوِيلًا ٥٩

“Sesungguhnya, Allah menyuruh kamu supaya menunaikan segala jenis amanah kepada yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum antara manusia, (Allah menyuruh) kamu supaya menghukum dengan adil. Sesungguhnya, Allah dengan (suruhan-Nya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya, Allah itu Maha Mendengar, lagi Maha Melihat. (58) Wahai orang-orang yang beriman! Taatilah kamu kepada Allah, taatilah Rasul-Nya dan kepada ulu al-amr (ulama’ dan umara’) antara kamu. Kemudian, jika kamu saling berbantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada Allah (al-Quran) dan Rasul-Nya (al-Sunnah), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan Hari Akhirat. Oleh yang demikian, perkara itu adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya. (59)” [Surah al-Nisa’: 58-59]

Ketaatan kepada Allah dan Rasul-Nya (al-Quran dan Sunnah) adalah bersifat mutlak kerana terpelihara daripada sebarang kesalahan dan kelemahan. Adapun ketaatan kepada ulu al-amr (pemimpin dan ulama’) bersyarat tidak mengatasi Allah dan Rasul-Nya. Firman Allah SWT:

وَمَا كَانَ لِمُؤۡمِنٖ وَلَا مُؤۡمِنَةٍ إِذَا قَضَى ٱللَّهُ وَرَسُولُهُۥٓ أَمۡرًا أَن يَكُونَ لَهُمُ ٱلۡخِيَرَةُ مِنۡ أَمۡرِهِمۡۗ وَمَن يَعۡصِ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ فَقَدۡ ضَلَّ ضَلَٰلٗا مُّبِينٗا ٣٦

“Dan tidaklah patut bagi lelaki yang beriman dan tidak (pula) bagi perempuan yang beriman, apabila Allah dan Rasul-Nya telah menetapkan suatu ketetapan, akan ada bagi mereka pilihan (yang lain) tentang urusan mereka. Dan sesiapa menderhakai Allah dan Rasul-Nya, maka sungguhlah dia telah sesat, sesat yang nyata.” [Surah al-Ahzab: 36]

Islam menetapkan adanya konsep negara berperlembagaan dan raja atau ketua negara di bawah perlembagaan. Di samping itu, Islam juga menetapkan hak rakyat masyarakat majmuk yang paling terdahulu dan lengkap.

Namun begitu, Islam memberi tempat kepada ketua negara (pemimpin, sultan dan para ulama’) kerana kadang-kadang suara majoriti datang daripada rakyat yang lemah dan ditipu. Khalifah ‘Uthman bin ‘Affan menegaskan:

‌إِنَّ ‌اللَّهَ ‌يَزَعُ ‌بِالسُّلْطَانِ ‌مَا ‌لَا ‌يَزَعُ ‌بِالْقُرْآنِ.

“Sesungguhnya, Allah memberikan kuasa kepada sultan (yang berkuasa memerintah) untuk bertindak dalam apa-apa perkara yang tidak dinyatakan oleh al-Quran (yang membawa maslahat kepada negara).” [Ibn Kathir, al-Bidayah wa al-Nihayah, Jld. 2, Hlm. 12]

Kelonggaran ini diberikan dalam semua perkara ijtihad, sama ada perkara tidak ada nas al-Quran dan Hadis, perkara yang dinyatakan nas yang umum yang banyak tafsirannya atau perkara yang tidak ada nas mengikut kajian dan fahaman yang betul dengan Maqasid al-Syari‘ah (tujuan hukum yang membawa kemaslahatan atau kebaikan) yang boleh dicapai oleh kemampuan manusia.

Namun begitu, prinsip dan konsep tersebut telah dirosakkan oleh penjajah melalui pelaksanaan sekularisme yang memisahkan urusan dunia daripada agama. Hakikatnya, segala urusan manusia itu telah diciptakan oleh Allah dengan penuh adil dan rahmat buat makhluk-Nya.

Penjajah telah merosakkan ajaran Islam dengan pendekatan sekularisme yang lemah dan menyesatkan dengan memisahkan urusan dunia daripada agama. Kemudian, diteruskan dalam perlembagaan yang digubal melalui pembentukan Majlis Agama Islam yang kuasanya terbatas, untuk membantu menjalankan kuasa-kuasa tertentu pada zaman penjajah dahulu bagi membuli dan merosakkan Islam serta umatnya.

Konsep tiada paksaan dalam beragama turut dibincangkan mengenai status Malaysia sebagai sebuah negara sekular, bukan negara Islam. Kebebasan beragama yang sering menjadi polemik dalam masyarakat Malaysia.

Analisis menunjukkan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan itu bukan sahaja hanya terkandung dalam Perkara 3, tetapi ia juga harus dibaca bersama dengan Perkara 8, 11, 12, 121, 150 dan kedudukan Yang di-Pertuan Agong (YDPA) dalam hal ehwal agama Islam. Kesemua ini menunjukkan bahawa Islam dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia mempunyai keistimewaan yang berbeza daripada agama lain di Malaysia.

Akan tetapi, ditafsirkan perkataan religion mengikut bahasa penjajah, bukan perkataan al-din dalam bahasa al-Quran. Inilah Islam yang diwarisi daripada penjajah yang silih berganti dan dirancang diteruskan selepas merdeka. Kalau inilah Islam yang dibaca oleh DAP, maka bacaannya salah.

Inilah juga Islam yang diamalkan dalam negara sehingga kini, sehingga berlaku banyak perkara yang sangat negatif, seperti salah laku, salah urus, rasuah dan lain-lain yang bukan berwajah Islam. Berbeza dengan zaman Rasulullah SAW dan zaman keemasan selepasnya yang banyak dikaji oleh ilmuwan barat dengan cara yang tidak sempurna dan pelaksanaan yang salah.

Kita mengharapkan semua pihak wajib membetulkan maklumat dengan berilmu yang betul dan beramanah. Jangan merosakkan imej Islam dan wajahnya yang sebenar.

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 21 Rajab 1446 / 21 Januari 2025