Home Berita PAS Kelantan

AMNS popularkan amalan gaya hidup sihat

23
SHARE

PASIR MAS, 17 Ogos: Selari dengan Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) yang diluluskan oleh Jemaah Menteri pada 7 Ogos 2020, Pejabat Kesihatan Daerah Pasir Mas, Pejabat Tanah dan Jajahan Pasir Mas menganjurkan program Jelajah ANMS peringkat jajahan Pasir Mas pada 15 Ogos.

Program tersebut ialah tawaran baharu kerajaan bertujuan menjadikan rakyat Malaysia Sihat Sejahtera melalui pembudayaan hidup sihat dan kelestarian persekitaran yang menyokong hidup sihat.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, YB Dr Izani Hussin memaklumkan ANMS menggunakan pendekatan “Whole of Nation” iaitu penglibatan agensi kerajaan melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Pejabat Kesihatan Daerah (PKD), Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan pemimpin setempat serta rakyat bagi memastikan pelaksanaannya secara menyeluruh.

“Tahniah kepada penganjur dan peserta. Penglibatan semua pihak ini sangat mustahak bagi menjayakan ANMS kerana setiap pihak mempunyai peranan masing-masing. Tanpa sokongan erat semua pihak, pencapaian ANMS untuk menjadikan kesejahteraan kesihatan rakyat sebagai satu keutamaan tidak mungkin dapat direalisasikan,” katanya ketika merasmikan program tersebut di Mini Stadium Pasir Mas.

Beliau juga mengingatkan masyarakat supaya cakna kepada kesihatan dengan mengamalkan pemeriksaan kesihatan secara berkala.

“Kesihatan fizikal dan mental yang baik menyumbang kepada peningkatkan produktiviti kerja. Oleh itu, semua pihak mesti berganding bahu dalam merangka program cakna kesihatan dan kebersihan sepanjang tahun. Mesej budaya gaya hidup sihat seperti makan secara sihat dan selamat, tidak merokok, minda sihat, hidup aktif serta kebersihan diri dan kebersihan persekitaran ini hendaklah betul-betul sampai kepada rakyat,” jelasnya.

Turut hadir, Exco Kerajaan Negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Pasir,
YB Dato’ Hanipa Ahmad.