Home Berita PAS Kelantan

Tiada kenaikan tarif elektrik sehingga 31 Disember 2022 – Menteri KETSA

27
SHARE

KUALA LUMPUR, 17 Ogos: Tiada kenaikan tarif elektrik bagi tempoh 1 Julai hingga 31 Disember 2022 kepada semua pengguna di Semenanjung kerana kadar yang sama akan dibayar oleh pengguna seperti sepanjang enam bulan pertama tahun ini berdasarkan penggunaan elektrik masing-masing.

Hal ini kerana tarif elektrik dilaraskan melalui Mekanisme Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) yang disemak setiap enam bulan sekali dengan mengambil kira kos bahan api dan penjanaan lain bagi tempoh enam bulan ke belakang.

Demikian menurut Menteri Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA), Datuk Seri Takiyuddin Hassan ketika menjawab soalan lisan yang dikemukakan oleh YB Senator Dr Wan Martina Wan Yusoff dalam sidang Dewan Negara, semalam, berkenaan dengan kenaikan tarif elektrik dalam masa terdekat.

Beliau juga menjelaskan kos ICPT bagi tempoh enam bulan yang lepas iaitu dari Januari hingga Jun 2022 ialah RM7 bilion bersamaan kadar surcaj 11.81 sen/kWj yang sepatutnya dilepaskan kepada semua pengguna bagi tempoh Julai hingga Disember 2022.

Namun begitu, katanya pada 24 Jun 2022, YAB Perdana Menteri telah mengumumkan pengekalan rebat 2 sen/kWj kepada semua pengguna domestik dan pengekalan surcaj 3.70 sen/kWj kepada semua pengguna bukan domestik di Semenanjung bagi tempoh 1 Julai hingga 31 Disember 2022.

“Bagi mengekang kenaikan tersebut, sebanyak RM5.8 bilion dibelanjakan kerajaan untuk menampung kos keseluruhan subsidi yang sepatutnya dilepaskan kepada semua pengguna elektrik di Semenanjung,” katanya.

Beliau juga meminta masyarakat memahami dan menghargai setiap subsidi yang ditanggung oleh kerajaan bagi seunit elektrik yang digunakan dengan sentiasa mengamalkan penjimatan elektrik.