Minda Presiden PAS
[Bil: 90 / 2023]
AHZAB YANG MENGUJI IMAN
Firman Allah SWT:
﴿يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱذۡكُرُواْ نِعۡمَةَ ٱللَّهِ عَلَيۡكُمۡ إِذۡ جَآءَتۡكُمۡ جُنُودٞ فَأَرۡسَلۡنَا عَلَيۡهِمۡ رِيحٗا وَجُنُودٗا لَّمۡ تَرَوۡهَاۚ وَكَانَ ٱللَّهُ بِمَا تَعۡمَلُونَ بَصِيرًا٩ إِذۡ جَآءُوكُم مِّن فَوۡقِكُمۡ وَمِنۡ أَسۡفَلَ مِنكُمۡ وَإِذۡ زَاغَتِ ٱلۡأَبۡصَٰرُ وَبَلَغَتِ ٱلۡقُلُوبُ ٱلۡحَنَاجِرَ وَتَظُنُّونَ بِٱللَّهِ ٱلظُّنُونَا۠١٠ هُنَالِكَ ٱبۡتُلِيَ ٱلۡمُؤۡمِنُونَ وَزُلۡزِلُواْ زِلۡزَالٗا شَدِيدٗا١١﴾
“Wahai orang-orang yang beriman! Ingatlah akan ni‘mat Allah (yang telah dikurniakan) kepadamu ketika datang kepada kamu tentera-tentera (Ahzab), lalu Kami kirimkan kepada mereka angin taufan dan tentera yang tidak dapat kamu melihatnya! Dan Allah Maha Melihat akan apa-apa yang kamu kerjakan. (9) (Iaitu) ketika mereka datang kepada kamu dari atas dan dari bawah kamu, dan ketika tidak tetap lagi penglihatan (kamu) dan hati kamu naik menyesak sampai di tenggorokan, dan kamu menyangka terhadap Allah dengan bermacam-macam purbasangka. (10) Di situlah diuji orang-orang Mukmin dan digoncangkan (hatinya) dengan goncangan yang sangat dahsyat. (11)” [Surah al-Ahzab: 9–11]
Al-Quran ialah Kitab Allah, mukjizat ilmu yang kekal hingga Hari Kiamat. Segala cerita yang menjadi sebab nuzul (sebab turun) suatu ayat ialah iktibar yang berulang sepanjang zaman. Maka, para ulama’ tafsir menetapkan kaedah ilmu al-Quran:
الْعِبْرَةُ بِعُمُومِ اللَّفْظِ لَا بِخُصُوصِ السَّبَبِ.
“Iktibar diambil daripada lafaz yang umum, bukan daripada sebab yang khusus (ketika diturunkan wahyu).”
Ketika al-Quran diwahyukan bersempena dengan peristiwa Ahzab (orang bukan Islam Yahudi dan Musyrikin bergabung bagi menghapuskan Islam), penduduk Madinah digoncang dengan ujian perpecahan kepada mereka yang benar-benar beriman, mereka yang lemah iman, dan golongan munafiq yang menipu imannya.
Mereka yang beriman dan tidak bergoncang imannya, firman Allah SWT kepada mereka:
﴿لَّقَدۡ كَانَ لَكُمۡ فِي رَسُولِ ٱللَّهِ أُسۡوَةٌ حَسَنَةٞ لِّمَن كَانَ يَرۡجُواْ ٱللَّهَ وَٱلۡيَوۡمَ ٱلۡأٓخِرَ وَذَكَرَ ٱللَّهَ كَثِيرٗا٢١ وَلَمَّا رَءَا ٱلۡمُؤۡمِنُونَ ٱلۡأَحۡزَابَ قَالُواْ هَٰذَا مَا وَعَدَنَا ٱللَّهُ وَرَسُولُهُۥ وَصَدَقَ ٱللَّهُ وَرَسُولُهُۥۚ وَمَا زَادَهُمۡ إِلَّآ إِيمَٰنٗا وَتَسۡلِيمٗا٢٢﴾
“Sesungguhnya, telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu, (iaitu) bagi orang yang mengharapkan (rahmat) Allah dan (kedatangan) Hari Kiamat dan dia banyak menyebut Allah. (21) Dan tatkala orang-orang Mukmin melihat golongan-golongan yang bersekutu itu, mereka berkata, ‘Inilah yang dijanjikan Allah dan Rasul-Nya kepada kita.’ Dan benarlah Allah dan Rasul-Nya. Dan yang demikian itu tidaklah menambah kepada mereka kecuali keimanan dan ketundukan. (22)”[Surah al-Ahzab: 21-22]
Mereka yang bergoncang imannya kerana terpengaruh dengan munafiq atau bodoh tidak mampu berfikir, firman Allah SWT kepada mereka pula:
﴿۞قَدۡ يَعۡلَمُ ٱللَّهُ ٱلۡمُعَوِّقِينَ مِنكُمۡ وَٱلۡقَآئِلِينَ لِإِخۡوَٰنِهِمۡ هَلُمَّ إِلَيۡنَاۖ وَلَا يَأۡتُونَ ٱلۡبَأۡسَ إِلَّا قَلِيلًا١٨﴾
“Sesungguhnya, Allah mengetahui orang-orang yang menghalang-halangi antara kamu dan orang-orang yang berkata kepada saudara-saudara mereka, ‘Marilah kepada kami.’ Dan mereka tidak mendatangi peperangan melainkan sebentar.” [Surah al-Ahzab: 18]
Manakala kalangan munafiq yang pura-pura beriman, Allah SWT turut berfirman kepada mereka:
﴿وَإِذۡ يَقُولُ ٱلۡمُنَٰفِقُونَ وَٱلَّذِينَ فِي قُلُوبِهِم مَّرَضٞ مَّا وَعَدَنَا ٱللَّهُ وَرَسُولُهُۥٓ إِلَّا غُرُورٗا١٢﴾
“Dan (ingatlah) ketika orang-orang munafiq dan orang-orang yang berpenyakit dalam hati mereka berkata, ‘Allah dan Rasul-Nya tidak menjanjikan kepada kami melainkan tipu daya.’” [Surah al-Ahzab: 12]
Walaupun Rasulullah SAW sudah wafat, namun tetap ada kumpulan Islam yang menyambung perjuangannya bagi menghadapi musuh sepanjang zaman. Banyak hadis yang memberikan penegasan mengenai berlakunya perkara itu, antaranya secara khusus oleh sabda Rasulullah SAW berikut:
“لَا تَزَالُ طَائِفَةٌ مِنْ أُمَّتِي عَلَى الدِّينِ ظَاهِرِينَ، لَعَدُوِّهِمْ قَاهِرِينَ، لَا يَضُرُّهُمْ مَنْ خَالَفَهُمْ إِلَّا مَا أَصَابَهُمْ مِنْ لَأْوَاءَ، حَتَّى يَأْتِيَهُمْ أَمْرُ اللهِ وَهُمْ كَذَلِكَ.” قَالُوا: يَا رَسُولَ اللهِ، وَأَيْنَ هُمْ؟ قَالَ: “بِبَيْتِ الْمَقْدِسِ، وَأَكْنَافِ بَيْتِ الْمَقْدِسِ.”
“Masih ada satu kumpulan dalam kalangan umatku yang menzahirkan pegangan mereka kepada agama, dalam keadaan gagah perkasa terhadap musuh mereka. Tidak bolah diberikan mudarat oleh kalangan yang menyalahi mereka, melainkan mereka ditimpa oleh kesusahan, namun mereka terus berjuang di atas dasarnya sehingga datang urusan Allah.” Para sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, di manakah mereka?” Jawab Rasulullah SAW, “Mereka itu (penduduk) di Bait al-Maqdis dan di sekeliling Bait al-Maqdis.” [Ahmad, Musnad Ahmad, Tatimmah Musnad al-Ansar, No. 22320, daripada Abu Umamah al-Bahili]
Kini, muncul kumpulan yang menyatakan keislaman mereka bernama Hamas dan Tanzim Jihad daripada mazhab Sunni dan Hizbullah daripada mazhab Syiah, dalam kalangan mereka yang berada di Bait al-Maqdis dan sekelilingnya.
Mereka bangkit menentang Zionis Israel atas nama Islam mengikut hukum fiqh jihad yang menjadi fardu ‘ain menurut semua mazhab sama ada Sunni, Syiah, mahupun Khawarij (Ibadiyyah), apabila tanah air Islam dirampas dan khususnya Masjid al-Aqsa diceroboh.
Perjuangan menentang penjajah khususnya Israel tanpa mengira mazhab sejak awal lagi. Mereka sama-sama mengorbankan para syuhada daripada kalangan semua mazhab.
Terkini, kumpulan tersebut bersatu menentang Zionis Israel dengan Operasi Taufan al-Aqsa yang dimulakan oleh Hamas, dengan gabungan oleh kumpulan Islam tersebut dan diikuti oleh semua kumpulan Palestin, kecuali kalangan Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) yang membuat kenyataan berasingan.
Kini, diikuti oleh serangan balas Israel ke atas Gaza yang ditumpu kepada Hamas sahaja bagi menghapuskannya, namun semua kumpulan tersebut bersatu bersama Hamas. Zionis Israel melakukan serangan ganas yang paling melampau tanpa perikemanusiaan dan mencabuli undang-undang antarabangsa.
Amerika Syarikat dan beberapa negara sekutunya terus menyatakan sokongan kepada Israel, malah ada yang telah menghantar bala tentera bagi mendukung serangan balas Israel, walaupun sudah melampaui batas undang-undang antarabangsa dan undang-undang peperangan bagi menghancurkan Gaza tanpa mengira sesiapa mahupun tempat. Mereka menjadi satu gabungan Ahzab yang sama.
Adapun semua kumpulan Islam tersebut berperang mengikut al-Quran dan al-Sunnah yang dipegang oleh semua mazhab. Firman Allah SWT:
﴿وَقَٰتِلُواْ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ ٱلَّذِينَ يُقَٰتِلُونَكُمۡ وَلَا تَعۡتَدُوٓاْۚ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُحِبُّ ٱلۡمُعۡتَدِينَ١٩٠﴾
“Dan perangilah di jalan Allah orang-orang yang memerangi kamu, (tetapi) janganlah kamu melampaui batas, kerana sesungguhnya, Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas.” [Surah al-Baqarah: 190]
Rasulullah SAW mentafsirkan dalam hadis-hadisnya supaya memerangi sasaran tentera sahaja, jangan membunuh mereka yang tidak terlibat dengan peperangan walaupun orang bukan Islam, termasuk rumah ibadat bukan Islam. Di sini menunjukkan kumpulan-kumpulan Islam itu berbeza dengan kumpulan Daesh atau ISIS yang meletupkan pasar, rumah kediaman, hotel, termasuk masjid; kumpulan yang kononnya dikatakan Ahli al-Sunnah wa al-Jama‘ah yang paling kuat.
Hakikatnya, banyak pendedahan menunjukkan bahawa kumpulan Daesh dan sepertinya ditaja oleh Agensi Perisikan Pusat (CIA) dan rakan-rakannya.
Adapun terhadap peristiwa yang berlaku di Palestin sekarang, membahagikan negara Arab dan negara umat Islam kepada beberapa kumpulan. Keseluruhan umat Islam di dunia membuat kenyataan menyokong atau bersimpati kepada Palestin dan Gaza khususnya, termasuk negara Amerika Latin dan segelintir negara Eropah, malah termasuk negara yang telah melakukan normalisasi dan hubungan diplomatik, bahkan ada yang terus memutuskan hubungan diplomatik dengan Israel.
Allah pernah menguji umat Islam dengan kejatuhan Khilafah ‘Uthmaniyyah 100 tahun yang lalu. Akhirnya, umat Islam dijajah oleh penjajah dari pelbagai negara bukan Islam yang menjadi mangsa bala tentera Ahzab yang berulang pada masa itu.
Penjajah mengambil peluang daripada kelemahan umat Islam yang lemah tafaqquh mereka dalam urusan agama, menyebabkan mereka berpecah kepada mazhab aqidah, fiqh, dan tasawuf. Bukan sahaja berpecah dalam fiqh ibadat, malah termasuk juga fiqh politik dan lain-lain dalam keadaan masih berpegang dengan rukun-rukun iman dan Islam yang banyak hadisnya.
Mereka juga berpecah dalam perbezaan bangsa, kaum, keluarga, dan daerah. Penjajah mengambil peluang daripadanya dengan mengadudombakan umat Islam.
Perbezaan mazhab berlaku pada zaman selepas generasi awal, dirungkaikan oleh Imam Abu al-Hasan al-Asy‘ari dalam kitabnya yang bernama ‘Maqalat al-Islamiyyin wa Ikhtilaf al-Musallin’ (berkenaan banyaknya kata-kata mereka yang masih mengaku Islam dan kekhilafan dalam kalangan mereka yang masih bersembahyang).
Kitab itu mengandungi kajian yang paling mendalam melebihi kitab-kitab yang lain, kerana beliau berada di tengah-tengah masyarakat yang paling bergolak dan majmuk pada zaman ‘Abbasiyyah.
Beliau tidak mengkafirkan dengan mudah terhadap mereka yang masih mengaku Islam dan masih bersembahyang, walaupun ada yang salah kerana kejahilan mereka dan sebab-sebab yang lain.
Hal ini berpandukan ucapan imam-imam mazhab supaya jangan terlalu mudah menghukumkan murtadnya seseorang Islam tanpa diselidiki keadaan yang sepenuhnya, seperti tahap ilmunya dan lain-lain sehingga tidak ada sebab keraguan, kerana sabda Rasulullah SAW:
ادْرَءُوا الْحُدُودَ بِالشُّبُهَاتِ.
“Ditolak hukuman hudud dengan adanya syubhah.” [Hadis masyhur yang diriwayatkan oleh al-Suyuti dalam al-Jami‘ al-Kabir, No. 876]
Dan juga sabda Nabi SAW yang lain:
ادْرَءُوا الحُدُودَ عَنِ الْمُسْلِمِينَ مَا اسْتَطَعْتُمْ.
“Ditolak hukuman hudud daripada orang Islam sekadar kemampuan kamu.” [Al-Tirmizi, Sunan al-Tirmizi, Abwab al-Hudud, No. 1424, daripada ‘Aishah]
Di ambang kejatuhan Islam, muncul tokoh ulama’ seperti Jamaluddin al-Afghani dan Muhammad ‘Abduh bagi menyatupadukan umat Islam yang berpecah belah. Namun, mereka terpaksa merungkai dan menghadapi fitnah oleh ulama’ yang tidak tafaqquh dengan keadaan semasa sehingga ada yang boleh diperalatkan oleh penjajah.
Kemudian, munculnya juga para ulama’ seperti Mahmud Shaltut (Syaikh al-Azhar), Ayatollah al-Kashani, dan lain-lain. Mereka disokong oleh Universiti al-Azhar, Mesir dan Majma‘ al-Buhuth al-Islamiyyah yang menerbitkan mawsu‘ah (ensiklopedia) lapan mazhab Islam yang masih mempunyai kitab masing-masing dan pandangan mereka disebut dalam kitab-kitab Ahli al-Sunnah wa al-Jama‘ah yang muktabar:
- Sunni (Hanafi, Maliki, Syafi‘i, Hanbali, dan Zahiri)
- Syiah (Imamiyyah dan Zaidiyyah)
- Khawarij (Ibadi)
Pada zaman mutakhir selepas berlakunya Revolusi Islam di Iran yang menubuhkan kerajaan Islam, pada awalnya situasi itu tidak menjadi masalah. Namun, selepas itu, beberapa orang pemimpin negara hab Sunni Hanafi serta beberapa orang tokoh Barat membuat kenyataan media yang berpihak kepada negara Sunni bagi menghadapi pengaruh bahaya Syiah daripada Iran dan negara Taliban daripada mazhab Sunni.
Antara mereka ialah Henry Kissinger, Condoleezza Rice, Madeleine Albright, dan lain-lain sehingga menggerakkan Perang Teluk pertama dan kedua, di samping perang di Afghanistan, Iraq, Syria, Libya, dan Sudan.
Amerika Syarikat dan sekutunya menjadikan beberapa negara Islam sebagai proksi kepada negara Barat. Tiba-tiba, beberapa orang ulama’ di dalam negara tersebut ikut membuat kenyataan. Ada yang menyokong kerajaan masing-masing dan ada yang menentangnya, sehingga berlaku perang saudara dalam beberapa negeri.
Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) menganjurkan Muktamar Ulama’ di Makkah dan Jordan dan mengeluarkan resolusi terdahulu, bahawa lapan mazhab yang disebutkan di atas diiktiraf sebagai penganut Islam yang disahkan oleh Universiti al-Azhar dan Majma‘ al-Buhuth al-Islamiyyah.
Tiba-tiba, dalam ujian seperti Perang Ahzab yang berlaku pada hari ini, muncul kalangan yang mempertikaikan kumpulan yang sedang berjihad menentang Israel yang mengganas sehingga mahu merampas Masjid al-Aqsa.
Mereka telah menimbulkan keraguan terhadap jihad yang diisytiharkan kerana adanya mazhab Syiah dan Ibadi yang turut menyokong. Walaupun dalam keadaan sudah ramai yang menjadi mangsa keganasan Israel di Palestin dan menunjukkan sifat kumpulan yang dinyatakan oleh Rasulullah SAW, selain kedatangan bala tentera Ahzab yang membunuh umat Islam tanpa peduli akan mazhab mereka.
Saya merasa bimbang bahawa golongan yang menimbulkan keraguan itu termasuk dalam firman Allah SWT yang disebut dalam peristiwa Ahzab dahulu:
﴿۞قَدۡ يَعۡلَمُ ٱللَّهُ ٱلۡمُعَوِّقِينَ مِنكُمۡ وَٱلۡقَآئِلِينَ لِإِخۡوَٰنِهِمۡ هَلُمَّ إِلَيۡنَاۖ وَلَا يَأۡتُونَ ٱلۡبَأۡسَ إِلَّا قَلِيلًا١٨﴾
“Sesungguhnya, Allah mengetahui orang-orang yang menghalang-halangi antara kamu dan orang-orang yang berkata kepada saudara-saudaranya, ‘Marilah kepada kami.’ Dan mereka tidak mendatangi peperangan melainkan sebentar.” [Surah al-Ahzab: 18]
Mereka yang lemah kefahaman dan imannya, terpengaruh dengan musuh Islam dan golongan munafiqin yang menjadi penyakit kepada masyarakat Islam. Mereka yang terpengaruh kepada propaganda musuh disifatkan oleh Allah SWT dalam firman berikut:
﴿۞وَلَوۡ أَرَادُواْ ٱلۡخُرُوجَ لَأَعَدُّواْ لَهُۥ عُدَّةٗ وَلَٰكِن كَرِهَ ٱللَّهُ ٱنۢبِعَاثَهُمۡ فَثَبَّطَهُمۡ وَقِيلَ ٱقۡعُدُواْ مَعَ ٱلۡقَٰعِدِينَ٤٦ لَوۡ خَرَجُواْ فِيكُم مَّا زَادُوكُمۡ إِلَّا خَبَالٗا وَلَأَوۡضَعُواْ خِلَٰلَكُمۡ يَبۡغُونَكُمُ ٱلۡفِتۡنَةَ وَفِيكُمۡ سَمَّـٰعُونَ لَهُمۡۗ وَٱللَّهُ عَلِيمُۢ بِٱلظَّـٰلِمِينَ٤٧﴾
“Dan jika mereka mahu berangkat, tentulah mereka menyiapkan persiapan untuk keberangkatan itu, tetapi Allah tidak menyukai keberangkatan mereka. Maka, Allah melemahkan keinginan mereka dan dikatakan kepada mereka, ‘Tinggallah kamu bersama orang-orang yang tinggal itu.’ (46) Jika mereka berangkat bersama-sama kamu, nescaya mereka tidak menambahi kamu selain kerosakan belaka, dan tentu mereka akan bergegas maju ke muka di celah-celah barisanmu, untuk mengadakan kekacauan antara kamu; sedang antara kamu ada orang-orang yang amat suka mendengar akan perkataan mereka. Dan Allah mengetahui orang-orang yang zalim. (47)” [Surah al-Tawbah: 46–47]
Rasulullah SAW menyediakan kekuatan daripada umat Islam tanpa mengira latar belakang mereka. Baginda SAW turut menerima orang bukan Islam yang bersedia membantu apabila menerima perlindungan Mut‘im bin ‘Adi yang kafir sebelum hijrah, mengambil pemandu bukan Islam ketika hijrah, meminjam senjata Safwan bin Umayyah sebelum keislamannya dalam Perang Hunain, dan hadis-hadis lain yang menasakhkan pandangan yang lemah.
Maka, mereka yang menolak penyertaan Syiah yang termasuk dalam saudara seagama dalam jihad Palestin dan menjadi kewajipan mereka juga, adalah sangat jahil dan bodoh agamanya.
Allah menceritakan rayuan Nabi Musa AS mengenai mereka yang bodoh daripada kalangan umatnya:
﴿وَٱخۡتَارَ مُوسَىٰ قَوۡمَهُۥ سَبۡعِينَ رَجُلٗا لِّمِيقَٰتِنَاۖ فَلَمَّآ أَخَذَتۡهُمُ ٱلرَّجۡفَةُ قَالَ رَبِّ لَوۡ شِئۡتَ أَهۡلَكۡتَهُم مِّن قَبۡلُ وَإِيَّـٰىَ ۖأَتُهۡلِكُنَا بِمَا فَعَلَ ٱلسُّفَهَآءُ مِنَّآۖ إِنۡ هِيَ إِلَّا فِتۡنَتُكَ تُضِلُّ بِهَا مَن تَشَآءُ وَتَهۡدِي مَن تَشَآءُۖ أَنتَ وَلِيُّنَا فَٱغۡفِرۡ لَنَا وَٱرۡحَمۡنَاۖ وَأَنتَ خَيۡرُ ٱلۡغَٰفِرِينَ١٥٥﴾
“Dan Musa memilih 70 orang daripada kaumnya untuk (memohon taubat kepada Kami) pada waktu yang telah Kami tentukan. Maka, ketika mereka digoncang gempa bumi, Musa berkata, ‘Wahai Tuhanku! Kalau Engkau kehendaki, tentulah Engkau membinasakan mereka dan aku sebelum ini. Apakah Engkau membinasakan kami kerana perbuatan orang-orang yang kurang akal (bodoh) antara kami? Itu hanyalah cubaan daripada Engkau, Engkau menyesatkan dengan cubaan itu sesiapa yang Engkau kehendaki dan Engkau memberikan petunjuk kepada sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah yang memimpin kami, maka ampunilah kami dan berikanlah kami rahmat, dan Engkaulah Pemberi ampun yang sebaik-baiknya.’” [Surah al-A‘raf: 155]
Kita percaya dan yakin bahawa kekalahan Ahzab dahulu pasti akan berulang, apabila segala kerahan serta kelebihan harta dan senjata mereka dimusnahkan dengan pertolongan Allah terhadap orang-orang beriman yang cinta akan pertemuan dengan Allah, lebih daripada cinta musuh mereka kepada kehidupan dunia.
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 11 Rabi‘ al-Akhir 1445 / 26 Oktober 2023