Home Hari Ini Dalam Sejarah PAS

Hari Ini Dalam Sejarah PAS: PAS Pertegas Pertahan Negara Islam Walaupun DAP Ugut Keluar Barisan Alternatif (7 Julai 2001)

1137
SHARE


PADA hari ini dalam tahun 2001, Jawatankuasa Harian PAS Pusat telah mengambil pendirian untuk mempertahankan perjuangan menegakkan negara Islam dan tidak akan tunduk kepada apa sahaja tekanan dan ugutan DAP. Jawatankuasa Harian Pusat juga turut memutuskan supaya penubuhan negara Islam oleh PAS tidak akan dibuat secara paksaan kepada rakyat, sebaliknya ia dilakukan secara demokratik. Atas asas ini, PAS bertegas untuk sanggup kehilangan DAP sebagai rakan politiknya, sebaliknya PAS akan kekal bersama Barisan Alternatif (BA).

Dalam Ucapan Dasar Presiden PAS sempena Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-41 pada 1 Jun 2001, Presiden PAS, Ustaz Dato’ Haji Fadzil Mohd Noor telah menekankan keperluan PAS untuk mempertahankan perjuangan menegakkan negara Islam dengan memgambil kira uslub dakwah dalam konteks politik semasa dan menyelaraskan penglibatan PAS dalam BA. Pendirian PAS dalam muktamar ini, yang diikuti oleh penegasan Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang bahawa PAS akan menutup pusat perjudian kasino dan meningkatkan kedudukan mahkamah syariah untuk menggantikan mahkamah sivil, telah menimbulkan kemarahan DAP.

DAP telah menyerang PAS dengan menuduh PAS menyimpang jauh dari manifesto BA, diikuti oleh ugutan DAP untuk menarik diri dari pakatan pembangkang itu. Pemimpin DAP yang menganggap isu negara Islam sebagai sensitif, telah memberi amaran kepada PAS supaya menghentikan perjuangan negara Islam. Pada 2 Julai 2001, memberi respon terhadap pendirian PAS itu, DAP telah menyatakan rasa terkejut kerana PAS mahu menegakkan negara Islam dan ia mahu keluar dari BA. Pada 11 Julai 2001, DAP secara terbuka menentang idea negara Islam dan mahu mengkaji semula hubungan dengan PAS.

DAP sebenarnya telah terkesan dengan keadaan politik Sarawak yang akan menghadapi Pilihan Raya Negeri pada akhir tahun 2001. Pada akhir 2000, DAP Sarawak telah menunjukkan sikapnya untuk berundur dari BA. Sebagai alasan terhadap tindakan ini, seorang ADUN DAP, Jason Wong Sing Nang telah keluar DAP pada 10 Februari 2001 kerana menolak perjuangan PAS dan akhirnya pada 3 Mac 2001, DAP Sarawak mengumumkan keluar dari BA. Strategi DAP untuk Pilihan Raya Negeri Sarawak 2001 ini telah menyebabkan mereka menyelar dasar perjuangan PAS, kerana beranggapan isu negara Islam telah menghilangkan sokongan orang bukan Islam kepada DAP dalam Pilihan Raya Umum 1999. DAP mahu menyertai Pilihan Raya Negeri Sarawak tanpa imej negara Islam dan PAS.

Mengambil kira sikap dan pendirian DAP yang begitu keras terhadap perjuangan Islam PAS, pada 7 Julai 2001, PAS mengambil pendirian untuk mempertahankan perjuangannya dan tidak akan tunduk kepada tekanan DAP. Ustaz Fadzil Mohd Noor kemudian membawa pendirian Jawatankuasa Harian PAS Pusat ini untuk disahkan oleh Jawatankuasa Kerja PAS Pusat pada 15 Julai 2001. Rentetan itu, DAP mencabar PAS pada 27 Julai 2001 supaya keluar dari BA jika terus memperjuangkan negara Islam. Pada 19 Ogos 2001, Kongres Kebangsaan DAP menyerahkan kepada CEC DAP untuk memutuskan kedudukan parti itu dalam BA. Akhirnya, pada 22 September 2001, DAP telah mengumumkan keluar dari BA kerana tidak bersetuju dengan perjuangan PAS mahu menegakkan negara Islam.

Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
7 Julai 2016

{jathumbnail off}