Usahawan muda perlu terus disokong sebagai pemacu ekonomi tempatan – YB Abdul Latiff
BACHOK, 6 Ogos – Sokongan berterusan terhadap usahawan muda perlu diperkukuhkan kerana golongan tersebut bukan sahaja berupaya menjana peluang pekerjaan, malah menjadi antara pemacu penting kepada pertumbuhan ekonomi setempat.
Ahli Parlimen Kuala Krai YB Abdul Latiff Abdul Rahman berkata demikian menerusi media rasminya selepas merasmikan pembukaan Coffee Clan di Bukit Marak, semalam.
“Keberanian anak muda menceburi bidang perniagaan wajar diberikan galakan kerana setiap usaha yang dilakukan mampu menyumbang kepada pembangunan ekonomi serta membuka lebih banyak peluang kepada masyarakat.
“Pembukaan Coffee Clan membuktikan semakin ramai anak muda berani melangkah membina perniagaan sendiri dengan mengetengahkan konsep yang moden serta memenuhi kehendak pelanggan masa kini,” katanya.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada pemilik Coffee Clan, Muhamad Faris Zuhaidi, 35, yang mengambil inisiatif membuka perniagaan berasaskan makanan dan minuman di Bukit Marak. Beliau berkata, Muhamad Faris pernah berkhidmat di Kuala Krai manakala bapanya, Cikgu Zuhaidi Ed berasal dari Kampung Peria, sekali gus menyifatkan kejayaan tersebut sebagai sesuatu yang membanggakan.
“Coffee Clan bukan sekadar menawarkan minuman berasaskan kopi, sebaliknya menyediakan suasana moden, selesa dan tenang yang sesuai dikunjungi seisi keluarga serta semua peringkat usia.
“Sokongan masyarakat kepada perniagaan milik anak muda bukan sekadar membeli secawan kopi, sebaliknya menjadi pemangkin kepada perkembangan perniagaan, menggerakkan ekonomi setempat serta menyuburkan impian generasi muda untuk terus berjaya,” ujarnya.
Sumber: inforakyat.kelantan.my