Peruntukan sama rata Ahli Parlimen hanya perlukan keputusan dasar eksekutif – YB Abdul Latiff
KUALA LUMPUR, 6 Ogos – Pelaksanaan peruntukan sama rata kepada semua Ahli Parlimen termasuk pembangkang tidak memerlukan pindaan perlembagaan, sebaliknya hanya memerlukan keputusan dasar eksekutif.
Demikian kenyataan Ahli Parlimen Kuala Krai YB Abdul Latiff Abdul Rahman ketika membahas Rang Undang-Udang Perlembagaan (Pindaan) 2026- Penghadan Tempoh Jawatan Perdana Menteri pada 2 Mac.
Katanya, pelaksanaan perkara itu boleh dibuat dengan segera sekiranya diumumkan oleh Perdana Menteri.
“PM umum sekejap lagi, esok dah boleh dilaksanakan dan kami dah boleh bantu rakyat yang memerlukan dalam bulan Ramadan ini dan menjelang Aidilfitri nanti,” katanya.
Pada masa sama, YB Abdul Latif mempersoalkan mengapa perkara yang menurutnya tidak memerlukan pindaan Perlembagaan masih belum dilaksanakan sepenuhnya, sedangkan perkara yang memerlukan persetujuan Majlis Raja-Raja mahu dipercepatkan.
“Mengapa perkara yang tidak memerlukan pindaan tidak dilaksanakan sepenuhnya tetapi perkara besar yang memerlukan persetujuan Majlis Raja-Raja ingin dipercepatkan?” Soalnya.
Beliau turut mencadangkan supaya kerajaan menggubal akta atau memasukkan peruntukan sama rata kepada semua Ahli Parlimen dalam pindaan Perlembagaan bagi memastikan agihan berkenaan dijamin oleh undang-undang tanpa mengira pihak yang membentuk kerajaan.
“Jika benar kerajaan ikhlas, ‘Akta’kan atau masukkan dalam pindaan Perlembagaan peruntukan sama rata kepada semua Ahli Parlimen, supaya siapa pun menjadi kerajaan, peruntukan Ahli Parlimen dijamin oleh undang-undang.
“Insya Allah selepas PRU-16 nanti, kami pula menjadi kerajaan, maka pihak sana juga akan dapat peruntukan. Kalau tidak, kong kali kong, balik asal!” katanya.
Sumber: inforakyat.kelantan.my