KOTA BHARU, 6 Dis: Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) akan meningkatkan pengeluaran air bersih daripada Loji Rawatan Air (LRA) Chicha supaya sampai ke kawasan hujung paip agihan semua penduduk.
Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Pengangkutan dan Utiliti, YB Dato’ Sr Azami Mohd Nor berkata, antara tindakan segera bagi mengatasi masalah khususnya di kawasan Kampung Parit, Pasir Tumboh adalah dengan menghantar air terawat melalui lori tangki kontrak ke kawasan yang terkesan.
Tambahnya, AKSB menempatkan dua buah tangki statik 1500 gelen dan 500 gelen di Kampung Parit manakala dua buah lori air kontrak ditugaskan mengisi tangki statik serta membuat penghantaran air terawat ke kawasan premis setiap hari secara percuma.
“Jadi kalau ada cakap-cakap orang yang kerajaan tidak ambil berat pasal bekalan air bersih, itu tidak benar kerana kita ada sembilan buah lori mengangkut air bersih untuk dihantar ke tangki air statik kepada pengguna yang mengalami gangguan bekalan air. AKSB juga merancang untuk membeli lima lagi lori tangki bagi memenuhi kuota satu jajahan satu lori untuk menyediakan air bersih kepada rakyat yang mengalami tekanan air rendah,” katanya.
Beliau mengulas demikian bagi menjawab isu yang diutarakan penduduk berkenaan ganguan air bersih di Kampung Parit, sebelum menyerahkan bantuan AKSB kepada mangsa kebakaran di Madrasah Diniah Bakriah Pondok Pasir Tumboh, Ahad lalu.
Terdahulu, Kerajaan Negeri telah menggunakan sejumlah RM 1.5 juta daripada jumlah keseluruhan RM58 juta yang digunakan khasnya menyelesaikan masalah bekalan air di Kelantan, di samping projek lain termasuk menukar paip lama dan menaik taraf loji.