PASIR MAS, 23 Oktober: Demi memastikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat di parlimen Pasir Mas, penyandang kerusi parlimen berkenaan, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari mereka cipta kad laporan kerjanya sendiri.
Menurutnya, kad laporan itu membantu rakyat menyemak maklumat secara lebih tepat dan terperinci berhubung peruntukan yang diperolehinya selama sepenggal menggalas tanggungjawab sebagai Ahli Parlimen Pasir Mas.
“Rekod yang kita reka ini walaupun diisi secara manual, pendokumentasiannya sangat terperinci dan tepat kerana dikemas kini segera setiap kali selepas projek dilaksanakan. Sistem ini memudahkan rakyat tahu ke manakah setiap peruntukan yang saya terima itu disalurkan,” jelasnya ketika ditemui di Program Cakna Rakyat DUN Meranti pada 15 Oktober.
Tambahnya, sebaik sahaja pertama kali beliau diamanahkan menjadi wakil rakyat pada penggal lalu, beliau terus mewujudkan kad kerja tersebut.
Laporan kad itu merekodkan 255 projek telah dilaksanakan untuk manfaat masyarakat dan pemastautin di Pasir Mas merangkumi usaha menaik taraf, membaik pulih dan menurap jalan kampung di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Pasir, Tendong dan Meranti sejak tahun 2020 hingga 2022.
Di samping itu, calon doktor falsafah dalam bidang pengurusan perniagaan itu juga pernah membentangkan kad laporan kerjanya ketika pengagihan bantuan COVID-19 pada tahun 2020 dan 2021.