TUMPAT , 22 September: Selaku aset penting yang bakal mencorakkan masa depan sesebuah negara, setiap pelajar perlu dibekalkan dengan ilmu pengetahuan dan maklumat yang cukup supaya boleh bertindak dengan membuat keputusan yang lebih tepat dan berkesan.
Penasihat Agama, Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen (PKMP) Tumpat, Ustaz Ropein Hasan berkata demikian ketika berucap mewakili Ahli Parlimen Tumpat, YB Dato’ Che Abdullah Mat Nawi, merasmikan Kursus Kenegaraan kepada pelajar tingkatan enam di Maahad Muhammadi Tumpat, semalam.
Tambahnya, setiap pelajar hendaklah menjadi contoh kepada generasi muda dalam membentuk pemikiran positif serta sumbangan tenaga untuk pembangunan agama, bangsa dan negara.
“Dalam mendepani pelbagai isu yang berlaku pada hari ini setiap pelajar perlu bersikap lebih matang dalam menilai dan jangan sesekali mudah terpengaruh dengan sebarang propaganda.
Selain itu, jangan hanya mengambil sikap tunggu dan lihat sahaja apa yang berlaku sebaliknya sama-sama berperanan mencerna masa depan negara berlandaskan tuntutan al-Quran dan as-Sunnah,” pesannya.
Dalam kesempatan yang sama, beliau turut menasihati para pelajar supaya jangan mudah terjebak dengan gejala negatif pada peringkat usia yang masih muda kerana perjalanan hidup masih jauh.
Pada majlis yang sama, beliau turut menyampaikan sumbangan wang tunai untuk membantu menjayakan program yang diadakan selama sehari itu.