Home Berita PAS Kelantan

Loghat Kelantan asas keakraban kaum di bumi Kelantan

32
SHARE

KOTA BHARU , 22 September: Sempena sambutan Hari Malaysia 2022, Slot Bicara Siasah membawakan topik Perpaduan Kaum di Kelantan dengan menampilkan tiga panel mewakili kaum yang ada di Kelantan.

Bagi kaum Cina diwakili oleh saudara Lim Guan Seng, kaum India Hareetaran Raman dan kaum Melayu Cik Muhammad Sardi Che Abdul Hadi.

Ketika memulakan bicara dalam slot tersebut yang berlangsung secara atas talian pada 20 September lalu, Pegawai Penerangan Zon, Urus Setia Penerangan dan Komunikasi Negeri Kelantan (UPKN), Hareetaran yang juga anak kelahiran Kelantan berkongsi pengalaman beliau semasa zaman persekolahan, di mana beliau seorang sahaja di dalam sekolah yang bukan Islam dan berbangsa India.

Namun begitu, katanya beliau tidak pernah terasa asing atau dibeza-bezakan oleh kaum melayu, malah persahabatan mereka lebih akrab antara satu sama lain.

Menurut wakil Pusat Intergrasi Antara Kaum Negeri Kelantan (PEKA) Cik Muhammad Sardi selaku panel jemputan mewakili kaum melayu pula berkata, beliau juga digelar dengan nama Ah Chong sampai sekarang kerana pernah bersekolah di Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Chong Cheng dan boleh menyanyikan lagu dalam Bahasa Cina dengan fasih.

“Ayah saya dulu hantar semua anak-anaknya ke sekolah cina dan anak saya juga lapan orang semuanya bersekolah di sekolah cina. Antara sebabnya ialah untuk menguasai bahasa Cina serta saling memahami dan mengenali antara satu sama lain,” katanya.

Tambahnya lagi, keharmonian dan perpaduan kaum di Kelantan sebenarnya diikat dengan loghat Kelantan yang sentiasa meniti dibibir dalam percakapan masyarakat Kelantan tanpa mengira perbezaan bangsa dan agama.

Perkara tersebut turut disokong oleh saudara Lim Guan Seng yang juga Pengerusi Dewan Undangan Pendukung Pas (DHPP). Katanya, loghat Kelantan bukan sahaja digunakan untuk bercakap dengan kaum melayu sahaja, tetapi percakapan sesama kaum cina sendiri juga masih menggunakan loghat Kelantan, kerana ia menjadi kebiasaan dan sebati dalam diri masing-masing.

Sementara itu, saudara Haree turut berkata, simbolik perpaduan dan keakraban kaum di Kelantan boleh dilihat di Kedai Kopi Kuan Heong Yan atau dikenali juga dengan nama kedai Bota yang terletak di Jalan Che Su, bandar Kota Bharu kerana katanya majoriti pelanggan kedai tersebut ialah mereka daripada pelbagai kaum yang boleh duduk bersama dan berbual dalam loghat Kelantan sambil menikmati secangkir kopi bersama roti bakar.

“Secawan kopi boleh menyatukan bangsa. Walaupun setiap kaum ada perbezaan, tetapi apa yang penting ialah mencari titik persamaan,” katanya.