KOTA BHARU, 13 September: Timbalan Menteri Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) YB Datuk Ahmad Marzuk Shaari menyifatkan Pentas Rakyat Siri 2 anjuran Kerajaan Negeri Kelantan melalui Urus Setia Penerangan Negeri Kelantan (UPKN) yang berlangsung di Dataran Kompleks Purnama Pengkalan Chepa, Sabtu lalu sebagai sebuah program kesenian yang sederhana tetapi bermakna.
Beliau mengucapkan tahniah kepada UPKN kerana telah membawa satu perdekatan dan kelainan dalam menyantuni rakyat di seluruh negeri Kelantan.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Pengkalan Chepa berkata, semua manusia mempunyai fitrah yang sukakan kepada hiburan dan Islam itu sendiri tidak menolak kepada hiburan tetapi berhibur itu mestilah dalam batasan agama yang dibenarkan.
“Langkah yang diambil oleh UPKN ini membuktikan, Kerajaan Negeri tidak meminggirkan soal hiburan, tetapi hiburan itu mestilah tidak mengandungi nilaian ekstrim dan tidak bercanggah dengan adab serta budaya masyarakat setempat, dan lagi penting ianya tak bercanggah dengan hukum syarak. Inilah pakej yang dibawa oleh Kerajaan Negeri yang membawa dasar Membangun Bersama Islam melalui Pentas Rakyat,” ujarnya lagi.
Program hiburan patuh syariah yang diformatkan berselang-seli dengan ucapan para pemimpin itu turut menampilkan Sabri Yunus atau lebih dikenali Pok Ya Cong Codei sebagai pengacara majlis dan tukang karut.
Hadirin juga turut dihiburkan dengan persembahan mantap daripada Iwan Syahman, Renggo Arrow dan kumpulan pendikir Sirat Maharaja. Manakala sesi khidmat masyarakat dan pameran agensi-agensi kerajaan negeri dan pusat telah bermula sejak pukul 9.00 pagi.