Home Berita PAS Kelantan

Karnival Cakna Rakyat DUN Bunut Payong dapat sambutan luar jangka

155
SHARE

KOTA BHARU, 13 September: Sambutan orang ramai terhadap Karnival Cakna Rakyat DUN Bunut Payong 2022 mendapat sambutan luar jangka dengan kehadiran mencecah 3000 pengunjung sepanjang program berlangsung.

Program yang diadakan di Padang Maktab Sultan Ismail (SIC) itu lengkap dengan pelbagai program khususnya dengan kehadiran agensi kerajaan seperti KWSP, Perkeso, Tabung Haji, Tekun Nasional, Klinik Undang-undang, Bomba dan pelbagai lagi yang menyediakan perkhidmatan untuk orang ramai.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bunut Payong, YB Dato’ Dr. Ramli Mamat, acara lain yang turut diadakan ialah persembahan pentas seperti dikir barat, pertandingan melukis untuk kanak-kanak, sukaneka bagi kategori liga penalti, tarik tali, lari dalam guni dan cabutan bertuah dengan hadiah utama sebuah motosikal.

“Sambutan orang ramai kepada Jualan Keluarga Malaysia membabitkan barangan keperluan asas juga mendapat sambutan baik dengan menawarkan diskaun 20 peratus,” katanya.

Sempena program tersebut, beliau turut menyampaikan sumbangan kepada 200 orang anak yatim dan 200 orang pelajar yang akan melanjutkan pengajian ke Institut Pengajian Tinggi (IPT).