KOTA BHARU, 10 April: Pegawai Perubatan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Dr Muhammad Najmi Ahmad berkongsi pandangan tentang ibadah puasa yang dapat memberi peluang kepada sistem pencernaan badan manusia untuk berhenti seketika pada waktu siang kerana dalam tempoh tersebut, tiada tambahan makanan atau minuman baharu yang diterima.
Berbeza keadaan apabila tidak berpuasa, sistem pencernaan tubuh seseorang akan bekerja tanpa henti, buktinya selepas makan kita akan mudah merasa letih, dan mengantuk. Hal ini terjadi kerana lebih banyak makanan atau minuman yang diambil, maka lebih lama masa dan lebih tenaga diperlukan supaya pencernaan itu sempurna.
Beliau mengulas demikian ketika diundang sebagai panel dalam Live Facebook Rakyat at Demit yang boleh diakseskan melalui Facebook rasmi Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita YB Dato’ Mumtaz Md Nawi dengan tajuk Madrasah Ramadan Demit 2022: “Kenapa Puasa Ramadan Menyihatkan”.
Bagaimanapun, katanya lagi ibadah puasa banyak memberi keistimewaan dari segi kesihatan contohnya mendapat berat badan yang ideal, puasa juga dapat mengurangkan faktor risiko penyakit kardiovaskular, selain dapat membantu mengawal penyakit diabetes, dan juga telah dibuktikan mampu meningkatkan daya tumpuan.
“Bulan puasa ni juga terkenal dengan bulan terapi kesihatan kepada beberapa jenis penyakit khususnya kepada para perokok dan penghisap vape, harapan saya agar mereka mampu mengurangkan atau berhenti terus dengan amalan yang boleh membahayakan kesihatan dan boleh menyebabkan penyakit kanser,” katanya.
Sungguhpun begitu, ibadah puasa menjadi medan latihan bagi memupuk kesabaran, kejujuran serta sikap bertolak ansur sesama manusia. Secara tidak langsung, akan membina serta membiasakan semua sikap positif dalam diri masing-masing.
“Kita yakin hikmah puasa bukan sahaja mampu meningkatkan iman kepada pengamalnya, malah pelbagai kebaikan kesihatan juga akan turut dirasai,” tambahnya.