Home Berita PAS Kelantan

Kelantan bakal raih RM1.8b pelaburan melalui ECERDC

60
SHARE

KOTA BHARU, 11 April: Hubungan erat antara Kerajaan Persekutuan dan Negeri serta Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), selaku badan berkanun yang ditubuhkan untuk memacu serta melaksanakan Pelan Induk Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) telah memperkukuh daya saing Kelantan sebagai destinasi pelaburan.

Hal tersebut turut merangsang ECERDC mempergiatkan lagi aktiviti promosi pelaburan bagi menarik Pelaburan Langsung Domestik (DDI) dan Pelaburan Langsung Asing (FDI) ke Kelantan, terutamanya selepas pembukaan sempadan antarabangsa negara.

Demikian kenyataan Menteri Besar Kelantan, YAB Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob, selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan dan Penyelarasan ECER (ICC) Kelantan di Mabna, semalam.

Beliau berterima kasih kepada ECERDC yang optimis mampu mencapai sasaran pelaburan lebih tinggi iaitu RM1.8 bilion bagi Kelantan pada tahun ini.
“Kita yakin pelaburan ini membawa manfaat besar kepada rakyat kerana ia bakal mewujudkan lebih daripada 1,200 pekerjaan baharu dan lebih 300 peluang keusahawanan.

“Kita juga bersyukur dan berterima kasih kepada ECERDC yang telah pun berjaya menarik pelaburan komited bernilai RM990 juta ke Kelantan sehingga 31 Mac 2022. Terutamanya dalam sektor pembuatan dan sumber tenaga boleh diperbaharui yang bakal menjadi penyumbang utama bagi Kelantan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Dato’ Baidzawi Che Mat pula berkata, ECERDC yakin mencapai sasaran melalui pakej insentif cukai khas Kelantan yang telah diluluskan oleh Kementerian Kewangan.

“Di bawah Insentif Khas Kelantan, pelabur yang layak akan menikmati 100 peratus pengecualian cukai pendapatan selama 15 tahun dengan lanjutan lima tahun lagi pada kadar istimewa 17 peratus. Bagi pekerja bukan warganegara yang memegang jawatan pengurusan kanan, mereka hanya akan dikenakan kadar cukai rata sebanyak 15 peratus sebagai insentif tambahan untuk menarik FDI ke Kelantan,” jelasnya.