Home Berita PAS Kelantan

Laman Warisan Kampung Laut siap, terima kasih ECERDC – Menteri Besar

121
SHARE

KOTA BHARU, 10 April: Menteri Besar Kelantan YAB Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob berterima kasih dan memuji pihak East Coast Economic Region Development Council (ECERDC) atas kejayaan menyiapkan projek Laman Warisan Kampung Laut mengikut jadual merangkumi kerja-kerja pemindahan Masjid Kampung Laut dari Nilam Puri kembali ke lokasi asal.

“Projek seterusnya yang dinantikan ialah permulaan pembinaan Jambatan Palekbang yang akan melengkapi Laman Warisan Kampung Laut dan Kota Bharu Promenade sebagai pembangunan bersepadu yang berasaskan pelancongan,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan dan Penyelarasan ECER (ICC) Kelantan, hari ini.

Dalam majlis yang sama, Ahli mesyuarat ICC Kelantan juga diberi taklimat mengenai rancangan ECERDC untuk membangunkan pelancongan Kenderaan Rekreasi (RV) di ECER, di mana, Tanah Tinggi Lojing di Gua Musang telah dikenal pasti sebagai tapak perintis untuk Taman RV di Kelantan.

Terdahulu, Ustaz Dato’ Ahmad dan ahli mesyuarat ICC meninjau Masjid Kampung Laut dan Laman Warisan Seni tersebut yang telah siap pada 19 Mac lalu selepas ECERDC mengedarkan Bingkisan Ramadan kepada 70 keluarga yang tinggal di sekitar Masjid Kampung Laut.

Beliau turut menyaksikan penyerahan sumbangan daripada warga kerja ECERDC yang disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Dato’ Baidzawi Che Mat kepada 30 keluarga yang kurang berkemampuan sebelum menyertai majlis berbuka puasa anjuran ECERDC di Laman Warisan Seni Kampung Laut, semalam.