KOTA BHARU, 23 Mac: Komited menjadikan masyarakat Kelantan sebagai masyarakat yang berilmu, Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Kelantan (PPAK) dengan kerjasama Unit Pembangunan Insan Negeri Kelantan dan Perpustakaan Desa Pustaka Negara Malaysia (PNM) mengambil inisiatif mempelopori dunia mengadakan Program Keluargaku Keluarga Membaca 2022 bertemakan “Membaca Menyatukan Keluarga”.
Program tersebut berlangsung sepanjang tahun 2022 mengikut tempoh tertentu. Sesi perintis bermula dari 21 Mac sehingga 7 April 2022 dan terbuka kepada semua penduduk yang tinggal di negeri Kelantan.
Menurut Timbalan Pengarah PPAK, Mohd Azizi Zainudin, objektif pertama program ini diadakan adalah melaksanakan wahyu pertama yang diturunkan Allah dalam surah al-‘Alaq iaitu Iqra’ (membaca).
“Dengan membaca, masyarakat akan lebih mengenal Allah dan melaksanakan perintah-Nya, justeru dapat meningkatkan lagi keimanan kita kepada Allah SWT,” katanya ketika dihubungi.
Selain itu, program tersebut juga bertujuan menyatukan keluarga dengan membudayakan amalan membaca secara bersama dengan ahli keluarga di rumah.
Hadiah keseluruhan yang diperuntukkan bagi program tersebut ialah RM77,500. Antara kategori yang dipertandingkan ialah Anugerah Ikon Membaca Negeri Kelantan, Anugerah Ikon Keluarga Membaca Negeri Kelantan, Anugerah Rakyat Bestari, Anugerah Keluarga Bestari dan Anugerah Keluarga Mawwadah.