Home Berita PAS Kelantan

PASTI Al-Huda Premier tambah silibus bahasa, renang

659
SHARE

PASIR MAS, 22 Mac: Penggal persekolahan bermula semalam merekodkan bilangan 140 pelajar di Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) Al-Huda Premier cawangan Kubang Panjang manakala 50 pelajar di cawangan Pohon Buluh.

Pengurusnya, Muhammad Fadhlullah Zakiria, 26, berkata sesi persekolahan bermula pada pukul 8.00 pagi hingga 1.00 petang. Diikuti kelas transit dijadualkan pada pukul 2.00 petang hingga 5.00 petang.

Menurutnya, dari segi silibus pembelajaran, pihak pentadbir menambah subjek “English Communication” bagi melatih pelajar berbahasa Inggeris di sekolah dan kelas renang sebagai ko-kurikulum.

“Di Al-Huda Kubang Panjang kelas asas berenang sudah pun bermula di kolam renang berkeluasan 18 kali 22 kaki persegi. Insya Allah di cawangan Pohon Buloh juga akan dibina kolam renang dalam masa terdekat,” katanya.

Beliau yang berkelulusan Diploma Kejuruteraan Elektrik dari Politeknik Kota Bharu turut memaklumkan nisbah bilangan guru dengan pelajar ialah seorang guru mengasuh 10 pelajar. Di Al-Huda Premier Al-Huda Kubang Panjang terdapat 14 guru, di cawangan Pohon Buluh pula lima guru bertugas.

“Kita amat menitikberatkan keberkesanan pembelajaran dan hasilnya, tiga tahun berturut-turut pelajar Al-Huda berjaya menerima Anugerah Peperiksaan Cemerlang PASTI Negeri Kelantan iaitu 2017, 2018 dan 2019. Pada tahun 2020 dan 2021 tidak ada Peperiksaan Cemerlang akibat pandemik COVID-19,” jelasnya.

Peperiksaan Cemerlang adalah peperiksaan untuk pelajar terbaik di setiap cawangan dan anugerah hanya diberikan kepada seorang pelajar terbaik bagi satu parlimen.
Pada tahun 2021, terdapat 12,898 pelajar PASTI di seluruh Kelantan dengan anggaran peningkatan jumlah tujuh peratus setahun.