Kenyataan Media
Parti Islam Se-Malaysia (PAS)
MESYUARAT KHAS PARLIMEN: BERSIDANGLAH SECARA PROFESIONAL
Mesyuarat Khas Parlimen yang sudah berlangsung selama dua hari sangat mengecewakan kerana sikap kebanyakan Ahli Parlimen Pembangkang tidak berperanan sebagai semak dan imbang kepada kerajaan tetapi hanyalah menyalahkan kerajaan tanpa sebarang solusi.
Ahli parlimen PH hanya mengeruhkan dewan dan menunjukkan sikap ingin kembali berkuasa dengan mendesak pemimpin kerajaan meletakkan jawatan. Ia bertentangan dengan kenyataan media mereka sebelum ini yang mahu memberikan tumpuan perbahasan terhadap masalah rakyat ekoran krisis COVID-19 dan kemelesetan ekonomi.
Kita juga boleh melihat blok pembangkang sudah hilang adab sopan dengan mengganggu kelancaran aturan urusan mesyuarat sehingga tanpa rasa bersalah memaki hamun Ketua Speaker dan Timbalan Speaker dengan perkataan yang tidak sepatutnya.
Perlu diingatkan bahawa Sidang Khas ini adalah untuk membincangkan isu COVID-19 yang sedang melanda negara di samping untuk menyahut titah YDP Agong yang menyeru Parlimen bersidang. Kerajaan sedang memberikan ruang seluasnya kepada seluruh Ahli Parlimen bersidang dengan harmoni malangnya pembangkang mengeruhkan perbahasan dalam Parlimen.
PAS menyeru semua Ahli Parlimen agar bersidang dengan penuh profesional dan beradab supaya sidang Parlimen Khas yang berbaki dapat berjalan lancar dan mencapai fokus utama menangani isu COVID-19 dan ke arah pemulihan negara.
Rakyat sedang memerhatikan gelagat Ahli Parlimen adakah memperjuangkan kebajikan mereka atau hanya rakus merebut kuasa sahaja.
PAS menyeru agar semua Ahli Parlimen ketepikan seketika kepentingan politik kepartian demi mencari solusi menyelamatkan negara melalui fokus Pelan Pemulihan Negara.
‘Islam Memperkukuh Perpaduan’
KAMARUZAMAN MOHAMAD
Ketua Penerangan
Parti Islam Se-Malaysia (PAS)
28 Julai 2021 | 18 Zulhijjah 1442
#MalaysiaSejahtera #MenangBersama
#KerajaanPrihatin #MalaysiaPrihatin