Home Rencana PAS Selangor

Perjuangan yang besar menuntut pengorbanan yang besar – Setiausaha BPPN Selangor

112
SHARE

May be an image of 2 people and people standing

Nadi Selangor by Roslan SMS | Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor

Oleh : Roslan Shahir Dato Mohd Shahir
Setiausaha Badan Perhubungan PAS Selangor

Kita masih dalam bulan Zulhijah. Bulan yang mengagungkan sifat pengorbanan keluarga Nabi Allah Ibrahim AS, yang sanggup berkorban jiwa dan raga atas ketaatan mereka kehadrat Allah SWT. Nabi Ibrahim, Nabi Ismail dan Siti Hajar masing-masing mempamirkan pengorbanan luarbiasa, dan terus kita muliakan sehingga ke hari ini.

Allah SWT berfirman di dalam al Quran maksudnya: “Dan tidak ada yang lebih baik agamanya daripada orang yang menyerahkan dirinya kepada Allah (dengan ikhlas), sedang ia berusaha mengerjakan kebaikan, dan dia pula mengikut agama Nabi Ibrahim yang lurus (yang tetap di atas dasar tauhid) dan (kerana itulah) Allah menjadikan Nabi Ibrahim kesayangan-Nya.” (Surah an-Nisa’ ayat 125)

Sifat pengorbanan kerana Allah SWT ini kekal mengalir dalam tubuh badan setiap Muslim dan sewajarnya dibuktikan melalui akhlak dan perlakuan kita masing-masing dalam apa jua aktiviti kehidupan. Jika Allah SWT membalas pengorbanan keluarga Nabi Ibrahim dengan meningkatkan maratabatnya menjadi insan kesayangan Allah SWT, tidak mustahil pengorbanan kita juga akan dicurahkan dengan sebaik-baik balasan oleh Nya.

Yang penting sebagaimana keluarga Ibrahim AS, ketaatan pada Allah SWT perlulah dberikan secara mutlak, dan dipikulnya segala perintah dan tanggungjawab dengan penuh cekal dan sabar, tidak sesekali berputus asa apalagi lari dan keluar mencari jalan mudah.

Dalam menghadapi pandemik Covid 19 umpamanya, kita diarahkan mengorbankan kebebasan pergerakan, kebebasan beribadat, ada yang terpaksa berkorban sumber pendapatan, terpisah dengan keluarga dan pelbagai dugaan lain kecil mahupun besar semata-mata kerana kita mahu mengawal dan memutuskan rantaian pandemik ini.

Mudah-mudahan berkat pengorbanan kita semua, dan dengan meningkatnya bilangan kadar vaksinasi dikalangan rakyat, wujud imuniti kelompok dalam waktu terdekat, dan kehidupan kita dapat kembali normal. Ia boleh berlaku.

Dan dalam menghadapi kemelut politik di tanahair juga, sewajarnya semua pihak khasnya kepimpinan politik, beriltizam menjiwai sifar pengorbanan keluarga Ibrahim AS, demi membina sebuah negara bangsa yang bermaruah dan dihormati dengan mendaulatkan agama dan mempertahankan hak dan kepentingan umat Melayu dan rakyat Malaysia secara amnya.

Negara ini perlukan keamanan dan kestabilan, umat Melayu Islam serta rakyat Malaysia amnya mahukan jaminan yang kepimpinan kerajaan mampu memimpin mereka ke arah kesejahteraan yang dinanti-nantikan. Biar apabila terkawal pandemik ini, negara mampu bangkit kembali sebagaimana sebelum ini, rakyat terbela dan tiada lagi kebimbangan.

Parti-parti Melayu Islam terbesar dalam negara khasnya yang membentuk kerajaan Persekutuan hari ini bertanggungjawab memastikan perkara ini dapat dicapai demi memberikan keyakinan kepada rakyat. Kerana itu sifat sanggup berkorban demi kepentingan yang lebih besar, demi nasib dan masadepan rakyat dan negara wajib didahulukan.

Cukup-cukuplah kita berbalah dan berpecah sesama kita, bertelagah dan bercakaran sedangkan agama menuntut kita bersatu-padu dan tidak bercerai-berai yang sudah pasti bakal membawa natijah yang buruk buat agama dan bangsa sebagaimana terbukti pasca PRU14 dahulu.

Inilah masa dan ketikanya untuk masing-masing kepimpinan berlapang dada, berjiwa besar dan mula menggerakkan langkah-langkah perdamaian, yang sudah pasti memerlukan pengorbanan yang besar, yang kita mahukan adalah jajaran politik perpaduan ummah itu diperkasakan, kalau perlu masing-masing berkorban dan bertolak-ansur, maka lakukanlah ia, kerana berkorban itu bukannya sesuatu yang asing pun buat kita sebagaimana ditunjukkan oleh junjungan kita Nabi Ibrahim AS dan keluarganya.

Langkah Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin melantik Dato Sri Ismail Sabri Yaakob, Naib Presiden Umno sebagai Timbalan Perdana Menteri Malaysia, adalah pengorbanan besar, langkah positif ke arah memperkasakan jajaran politik perpaduan ummah. Ia satu pengiktirafan besar buat Umno yang sebelum ini dalam PRU14 telah tewas pada PH. Muhyiddin boleh sahaja melantik seseorang dari partiya sendiri, dan sudah pasti mengeruhkan keadaan tetapi saya yakin langkah ini diambil kerana mahukan Umno kekal dalam kerajaan dan sanggup terus bersama demi kepentingan negara dan ummah.

Kesediaan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Umno pula dalam menerima perlantikkan Ismail Sabri itu juga dilihat sebagai pengorbanan besar. Dalam kalut pihak musuh khususnya mahu melihat umat Melayu Islam berpecah belah, Umno keluar dari kerajaan dan kerajaan ini roboh, tiba-tiba Presiden Umno mengalu-alukan perlantikkan Naibnya sebagai Timbalan Perdana Menteri Malaysia.

Saya cukup yakin bukan sahaja ahli dan penyokong Umno malah ramai umat Melayu Islam khasnya menarik nafas lega melihatkan perkembangan ini, apa sahaja yang membawa kepada memperkasa jajaran politik perpaduan ummah pasti disokong dan diterima baik rakyat.

Dan terbaru langkah bekas Perdana Menteri Datuk Sri Najib Tuan Razak pula mengunjungi TPM yang baru di pejebatanya di Putrajaya terus melegakan rakyat. Kehadiran Najib, bekas PM dan satu-satu tokoh paling popular dalam Umno dan dikalangan rakyat hari ini memberikan lampu hijau kepada politik baru yang diterokai Umno.

Jika pengorbanan demi pengorbanan ini dapat ditunjukkan oleh saf kepimpinan politik tanahair khasnya dari kalangan pimpinan parti-parti Melayu Islam terbesar, sudah pasti kita bakal saksikan politik negara yang lebih stabil dan masadepan negara yang lebih terjamin.

Biarkan musuh yang melukut di tepi gantang terus menggigit jari, biarkan mereka yang mementingkan agenda peribadi, kedudukan anak isteri dan kaum keluarga terus bersekongkol dengan musuh perpaduan ummah dan kekal tersisih dari arus perdana politik negara. Biarkan si Mat Jenin yang tak sabar mahu menjadi PM sejak puluhan tahun lalu terus berangan-angan kosong.

PAS selaku parti yang berteraskan Islam, yang lebih memahami konsep pengorbanan dan politik perpaduan ummah sewajarnya mengambil peranan pendamai, mendamaikan semua pihak yang berkepentingan dalam kerajaan hari ini, agar dapat dibina suatu permuafakatan yang lebih kukuh dengan meletakkan akidah sebagai tunjang dan penyatuan ummah sebagai jajaran politik baru.

Harapan dan cita-cita besar ummah jangan digagalkan lantaran kecewa dan berputus asa.

Langkah-langkah positif menjelang dan sewaktu Zulhijah ini diharapkan jangan terhenti tetapi diteruskan, perjuangan yang besar menuntut pengorbanan yang besar, sesungguhnya perjuangan mendukung dan membina kekuatan politik perpaduan ummah ini adalah perjuangan yang sangat besar dan semua pihak perlu sedia berkorban.

28 Julai 2021 | 18 Zulhijjah 1442

Lajnah Penerangan & Media Baru
Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor