Home Berita PAS Kelantan

Peremajaan sektor pertanian, timbal balik belia dan teknologi

106
SHARE
Oleh NORZANA RAZALY
PASIR MAS, 4 Jul: Dalam usaha meremajakan bidang pertanian, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, YB Dato’ Che Abdullah Mat Nawi menyarankan lebih ramai belia menceburi sektor tersebut dengan menerapkan idea kreatif berasaskan teknologi IR4.0.
Dato’ Che Abdullah yang juga Ahli Parlimen Tumpat berkata, timbal balik sektor pertanian dengan penglibatan anak-anak muda yang kreatif dapat memaksimumkan hasil pengeluaran yang bermutu tinggi dan boleh dieksport.
“Kita juga mahu terapkan kepada petani baharu khususnya golongan muda apabila berkecimpung dalam bidang ini mereka perlu terapkan dalam pemikiran mereka bahawa tanaman itu bukan hanya untuk pasaran tempatan, namun bercita-cita memasarkan hasil pertanian sehingga ke pasaran antarabangsa,” katanya selepas mengadakan lawatan kerja ke Projek Komuniti Kampung Beta, Pohon Buloh yang mengusahakan tanaman cendawan tiram dan fertigasi, semalam.
Projek pertanian bersepadu berinovasi Internet Kebendaan (IoT) tersebut dilaksanakan secara berperingkat melibatkan sepuluh plot sebagai model untuk diadaptasikan oleh ahli di atas tanah mereka sendiri mengikut minat masing-masing sama ada pertanian, penternakan atau perikanan (akuaponik).
Fasa pertama, penduduk yang menjadi ahli Kelab Komuniti Tani-Ternak Pasir Mas (KITABINA) telah berjaya membina Rumah Hasil Cendawan Tiram menggunakan pelaras suhu automatik yang mampu menghasilkan produk sepanjang tahun.
Diikuti plot fertigasi cili api mengaplikasikan teknik kawalan titisan air baja yang dikawal melalui peranti.
Mengulas lanjut, beliau memberitahu pengeluaran tanaman cendawan di Kelantan pada 2019 adalah sebanyak 393.2 tan dan meningkat kepada 501.6 tan pada 2020.
“Sekiranya trend peningkatan pengeluaran cendawan terus meningkat setiap tahun, ia akan memenuhi permintaan di dalam negara, seterusnya ke pasaran antarabangsa.
“Kerjasama beberapa agensi di bawah MAFI, seperti Institut Penyelidikan Dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), industri cendawan pasti akan terus berkembang dan mendapat tempat di pasaran,” katanya.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan (ADUN) Meranti, YB Dato’ Panglima Perang, Dato’ Mohd Nassuruddin Daud, Pengarah Pertanian Negeri Kelantan, Norbahani Zakaria dan pegawai agensi Kementerian Pertanian dan Industri Makanan Malaysia (MAFI).