Home Berita PAS Kelantan

Kasih sesama insan, kekuatan Rakyat Kelantan

113
SHARE
KASIH SESAMA INSAN, KEKUATAN RAKYAT KELANTAN
Pagi Jumaat semalam saya terima satu laporan dari Pusat Khidmat saya, bahawa, terdapat beberapa hantaran di Facebook oleh seorang individu yang menggambarkan kononnya ada rakyat saya yang terpaksa mengemis kulit ayam dari penjual ayam untuk dijadikan makanan kerana kesempitan hidup.
Petang Jumaat pula, saya terima video ini daripada Penghulu Wan Zaidi, yang bersegera menjenguk keluarga besar di sini. Terdapat empat buah rumah semuanya di atas tanah ini. Ke semua mereka adalah anak-beranak yang bahagia dan ringan tulang.
Walaupun kisah kulit ayam ini belum viral, perkongsian yang tidak tinggi, namun saya mengucapkan terima kasih kepada pasukan Pusat Khidmat yang cakna dan bersegera mengambil tindakan.
BERLUMBA-LUMBA MEMBUAT KEBAIKAN
Apabila membaca komen-komen, semua pihak menunjukkan keprihatinan yang tinggi. Sedia membantu. Sedia menghulurkan bantuan dan berlumba-lumba membuat kebaikan. Alhamdulillah, keprihatinan rakyat Kelantan sentiasa tinggi. Saya mengucapkan setinggi tahniah dan terima kasih semuanya. Teruskan usaha dan semangat yang sangat dituntut oleh Islam ini.
“Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua; dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, dan jiran tetangga yang dekat, dan jiran tetangga yang jauh, dan rakan sejawat, dan orang musafir yang terlantar, dan juga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong takbur dan membangga-banggakan diri.” – Terjemahan Surah An-Nisa (4:36)
KULIT AYAM DAN BAHAYA FITNAH
Saya mendengar jelas suara akak dari rakaman ini, bahawa beliau sangat gemarkan kulit ayam. Katanya, kalau ada kulit ayam, tak usik dah ayam. Gambaran yang beliau sendiri berikan. Pun begitu, kenyataan ini bukanlah menidakkan kesulitan yang dihadapi keluarga ini. Saya sangat faham.
Cuma, apabila diberitakan seolah-olah, beliau terpaksa mengemis kulit ayam dari penjual ayam, dan gambaran seolah-olah beliau terpaksa makan kulit ayam demi kelangsungan kehidupan sekeluarga, ini sebenarnya memberikan aib dan fitnah kepada ahli keluarganya yang lain yang berjiran, seolah-olah tidak membantu sesama sendiri. Ini yang harus kita perhalusi dan berhati-hati dalam membuat tajuk hantaran di Facebook. Mereka tidak tahu pun apa yang sedang dijaja di Facebook tentang mereka.
Jaga hubungan baik dan maruah keluarga ini. Beritakan dengan benar.
BANTUAN PRIHATIN RAKYAT
Seperti saya maklumkan sebelum ini, bantuan terus ke akaun yang diberikan adalah sebanyak RM1,800 bagi isi rumah berpendapatan bulanan kurang RM2,501 bagi BPR 2021 secara berfasa. Saya juga percaya, individu bujang yang layak, turut menerima bantuan ini.
Selain bantuan simen, zink dan bahan binaan, salah sebuah rumah keluarga ini juga telah dibantu bina sepenuhnya sebelum ini. Bantuan barangan dapur, bagi yang sangat memerlukan, sentiasa dibuka melalui Penghulu. Jangan segan untuk telefon atau berkunjung ke Pusat Khidmat.
Pada 4 Mei 2021 sebulan yang lalu, keluarga ini turut diziarahi oleh Datuk Marzuk dan Skuad Cakna Panchor. Salah seorang ahlinya keuzuran ketika itu.
PELIHARA AMALAN DARI SEBARANG KEKOTORAN
”Sesiapa yang buat satu ikutan yang baik lalu diikuti maka baginya pahala dan pahala yang serupa bagi sesiapa yang mengikutinya tanpa ada pengurangan sikit pun pahala mereka. Dan barangsiapa yang buat satu ikutan yang jahat lalu diikuti, maka baginya dosa dan dosa yang serupa bagi yang mengikutinya tanpa ada pengurangan sedikit pun.” – Riwayat al-Tirmizi
Sekali lagi, saya mengucapkan terima kasih dan menyambut baik usaha semua pihak. Saya percaya, nasib keluarga ini akan terus terbela hasil gembelingan semua pihak yang akan mencurah dari hari ke hari.
Kami juga akan melihat bentuk bantuan yang sesuai untuk meningkatkan ekonomi keluarga ini, dengan memanfaatkan keluasan tanah yang ada dan minat mereka dalam penternakan.
Jaga dan perbetulkan niat amal kebajikan kita. Buatlah yang terbaik tanpa perlu menuding jari dan mencemari amal soleh yang kita lakukan dengan tohmahan dan maki hamun terhadap pihak lain.
Semoga Allah SWT menerima amalan kita semua dan berdoalah agar amalan kita terpelihara dari sebarang kekotoran.
MOHD AMAR ABDULLAH | 26 JUN 2021
Pondok Tok Ayah Kedah, Kelantan Darul Naim