“Kebijaksanaan Dalam Membimbing Masyarakat”
Allah SWT telah mengutuskan para Nabi dan Rasul di muka bumi ini untuk menyelamatkan manusia keseluruhannya daripada azab dan seksaan-Nya kelak. Setiap Nabi termasuklah Nabi Muhammad SAW membawa misi penyelamat dengan panduan wahyu yang Bashirah untuk umatnya agar tidak berlaku syirik dan kesesatan hidup. Firman Allah SWT:
قُلۡ هَـٰذِهِۦ سَبِیلِیۤ أَدۡعُوۤا۟ إِلَى ٱللَّهِۚ عَلَىٰ بَصِیرَةٍ أَنَا۠ وَمَنِ ٱتَّبَعَنِیۖ وَسُبۡحَـٰنَ ٱللَّهِ وَمَاۤ أَنَا۠ مِنَ ٱلۡمُشۡرِكِینَ
Maksudnya: “Katalah (wahai Muhammad): Inilah jalanku, aku dan orang-orang yang menurutku, menyeru manusia umumnya kepada agama Allah berdasarkan keterangan dan bukti yang jelas lagi nyata. Dan aku menegaskan: Maha suci Allah (daripada segala iktikad dan perbuatan syirik) dan bukanlah aku daripada golongan yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain.” (Yusof: 108)
Menurut Imam Ibnu Kathir dalam tafsirnya, Nabi SAW menyebarkan seruan dakwahnya secara Bashirah iaitu dengan ilmu dan burhan (bukti). Tegasnya mereka yang menyampaikan seruan dan membimbing masyarakat ke arah jalan yang benar hendaklah melakukannya dengan panduan ilmu dan mesti diutamakan hikmah atau adanya kebijaksanaan.
Seseorang muslim mesti diberi kefahaman bahawa dengan membelakangkan tugas dakwah ia menjadi tanda kelemahan atau kecacatan iman seseorang. Maka, tugas mengajak manusia agar mengabdikan diri kepada Allah adalah wajib. Pelaksanaan menyampaikan dakwah ini boleh dilakukan secara individu dan secara berjemaah namun mestilah dengan uslub atau kaedah yang telah dilaksanakan oleh Nabi SAW.
Al-Syahid Syed Qutb melalui tafsir Fi Zhilal Al-Quran turut menegaskan bahawa kita umat Islam tidak cukup hanya dengan membimbing masyarakat untuk kebaikan diri mereka malah mesti diberi keterangan tentang bahaya jahiliah dan perlu dibenteras dalam sesebuah negara demi menggapai mardhatillah. Begitu juga mesti ada seruan dakwah mengajak golongan bukan Islam dan pemeluk ideologi lain agar menghormati Islam seterusnya menerima Islam sebagai agama kehidupan.
Usaha ini jika dilakukan secara Bashirah, dengan laras bahasa yang sesuai dengan masyarakat setempat, akan memberi kesan kepada penerimaan dakwah yang dibawa. Seorang sahaja yang menerima seruan, maka Allah SWT akan mengganjari seseorang itu dengan ganjaran hebat lagi lumayan sebagaimana sabda Nabi SAW:
فَوَاللَّهِ لَأَنْ يُهْدَى بِكَ رَجُلٌ وَاحِدٌ خَيْرٌ لَكَ مِنْ حُمْرِ النَّعَمِ
Maksudnya: “Demi Allah, dengan seorang sahaja yang mendapat petunjuk melalui dirimu, maka itu adalah lebih baik bagimu daripada unta merah (jenis unta yang paling baik).” (Riwayat Al-Bukhari)
Oleh yang demikian, betapa para pendakwah khususnya dan masyarakat Islam umumnya perlu mempelajari sirah Nabi dan pendekatan para sahabat Nabi dalam membimbing manusia ke arah kebenaran. Ini bagi mengelakkan berlakunya pengabaian dakwah dalam masyarakat sehingga orang jahil terus dengan kejahilan dan orang bukan Islam tidak mengenali keistimewaan Islam. Selain itu, berbekalkan uslub dakwah yang berhikmah akan menjadikan seruan dakwah tidak ekstrem dan tiada unsur pemaksaan dalam memilih agama. Dalam hal ini, Rasulullah SAW telah berpesan:
يَسِّرُوا ولا تُعَسِّرُوا، وبَشِّرُوا، ولا تُنَفِّرُوا
Maksudnya: “Hendaklah kamu semua mempermudahkan dan jangan menyusah-nyusahkan, dan hendaklah kamu menyampaikan berita gembira dan jangan menyebabkan manusia lari daripadamu”. (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
USTAZ DATO’ HJ AHMAD BIN YAKOB
13 Ramadhan 1442/25 April 2021
https://twitter.com/datoahmadyakob