Home Berita PAS Melaka

Rencana | Kerajaan PN juarai kebajikan rakyat

208
SHARE
Kredit foto : Google

Oleh IBNU JANIE

MASIHKAH kita ingat lagi peristiwa Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani kerajaan 22 bulan Pakatan Harapan (PH), Datuk Salahuddin Ayub yang menitiskan air mata membaca surat luahan nelayan dan petani dalam satu majlis anjuran kementeriannya?

Mungkin ramai yang dah lupa. Peristiwa itu berlaku pada 14 Februari 2019 ketika program Pelancaran Hala Tuju Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani di Serdang.

Mengapa Salahuddin menangis? Kononnya kerana mengenangkan nasib petani dan nelayan yang dipotong elaunnya. Elaun apa yang dipotong ketika itu? Elaun sara hidup petani dan nelayan yang sebelum itu diterima sebanyak RM300 dipotong kepada RM200.

Dipotong oleh siapa? Dipotong oleh Menteri Kewangan kerajaan PH sendiri ketika itu iaitu YB Tuan Lim Guan Eng.

PH banyak potong peruntukan

Pada tahun sebelumnya semasa pembentangan Bajet 2019 iaitu bajet pertama di bawah kerajaan PH, peruntukan untuk Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, sebuah kementerian yang banyak melibatkan orang Melayu, telah dipotong peruntukannya berbanding sebelumnya.

Antaranya, peruntukan untuk subsidi baja dikurangkan daripada RM465 juta pada tahun 2018 kepada RM232.5 juta pada tahun 2019. Peruntukan untuk insentif pengeluaran padi dikurangkan daripada RM563 juta pada tahun 2018 kepada RM281.5 juta pada tahun 2019.

Peruntukan untuk elaun sara hidup nelayan dan insentif hasil tangkapan dikurangkan daripada RM262 juta pada tahun 2018 kepada RM98.5 juta pada tahun 2019.

Selain pengurangan terhadap bantuan kepada petani dan nelayan, turut dikurangkan ialah bantuan untuk para pelajar.

Bajet pertama kerajaan PH itu juga telah menghapuskan program baucar buku untuk para pelajar yang diberi oleh kerajaan sebelumnya. Bantuan makanan pra-sekolah dipotong RM10 juta. Bantuan makan asrama dipotong RM100 juta.

Peruntukan untuk Biasiswa Kecil Persekutuan (BKP) dipotong RM28 juta. Dan dana untuk Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran untuk kolej-kolej swasta turut dihentikan.

‘Basah’ ganti BR1M

Itu belum lagi skim baharu menggantikan BR1M iaitu Bantuan Sara Hidup (BSH) yang dipersendakan sebagai ‘basah’ yang sinonim dengan ungkapan ‘PH kencing rakyat’. Jumlahnya jauh lebih rendah daripada yang dijanjikan Lim Guan Eng dalam kempen-kempen pilihan rayanya dan bilangan penerima yang layak juga jauh lebih rendah.

Bantuan E-tunai rakyat yang dilancar pada Januari tahun lepas oleh Lim Guan Eng turut menjadi ingatan dan bahan gurauan rakyat sehingga ke hari ini kerana nilainya yang hanya RM30.

Bukan tidak bersyukur tetapi bantuan yang diberi umpama gurauan di pagi hari. Sehingga hari ini ia masih diajuk dengan ungkapan ’30 ringek’ seperti bunyi sebutan Lim Guan Eng!

Tidak cukup dengan itu rakyat pula dituduh malas oleh pemimpin PH yang berkuasa ketika itu! Tambah menyakitkan hati rakyat marhaen apabila ada pemimpin PH ketika itu yang meminta agar rakyat jangan cemburu dengan orang kaya! Rakyat disuruh ikat perut!

Banyak jawatan-jawatan kerajaan yang dibekukan ketika kerajaan PH memerintah. Mereka juga merangka polisi untuk mengecilkan saiz sektor awam yang pada pendapat mereka sangat besar dan membazir. Ini juga adalah perjuangan DAP sekian lama.

Begitu cara PH melayan rakyat. Hanya dengan satu ‘alasan keramat’ bahawa kewangan negara sudah hancur dikerjakan oleh Najib, lalu mereka dengan mudah menyekat bantuan dan peruntukan yang sepatutnya diberi untuk rakyat.

Bersyukur kepada Allah swt kerana PH hanya memerintah selama 22 bulan. Antara hasil kerajaan PH ialah lahirnya golongan yang menyesal kerana menyokong PH. Termasuk juga golongan dalam kalangan ahli PAS yang sebelum PRU-14 dulu menggelarkan diri mereka sebagai “kami ahli PAS tapi kami akan undi PH”. Semuanya kini sudah kembali ke pangkal jalan.

Kerajaan Perikatan Nasional (PN) pula tertubuh apabila sekumpulan Ahli Parlimen parti BERSATU dan sebahagian PKR yang sudah tidak tahan dengan kebobrokan PH mengambil keputusan meninggalkan kerajaan PH pada awal tahun lepas.

Selepas sedikit kekalutan maka Tan Sri Muhyiddin Yassin akhirnya dilantik sebagai Perdana Menteri kepada kerajaan baharu ini pada awal tahun lepas. Dan sejarah juga tercipta apabila PAS untuk kali kedua berada di dalam kerajaan Persekutuan semula selepas kali terakhir pada lewat tahun 1970 an.

Pada November tahun lepas juga, semasa pembentangan bajet kali pertama kerajaan PN, Menteri Kewangan Malaysia, YB Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz telah mengumumkan skim Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) bagi menggantikan ‘Basah’ (BSH) dengan peruntukan RM6.5 billion yang memanfaatkan 8.1 juta penerima.

Ia jauh lebih baik daripada ‘Basah’ (BSH) yang melibatkan jumlah peruntukan hanya RM5 bilion dan memanfaatkan hanya 4.1 juta isi rumah pada tahun 2019, sementara untuk tahun 2020 pula peruntukannya hanya RM4.727 bilion yang memanfaatkan hanya 3.857 juta penerima.

Bantuan JKM akhirnya naik mendadak

Sebenarnya antara isu kebajikan terpenting yang telah dilakukan oleh kerajaan PN ialah menaikkan kadar bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang sekian lama tidak naik. Dan kenaikannya pula mendadak dan mencanak tinggi.

Bantuan Kebajikan Masyarakat yang sudah puluhan tahun hanya berjumlah RM300 sebulan kini dinaikkan kepada RM1000 sebulan. Selain itu kerajaan juga telah mengumumkan kenaikan beberapa bentuk bantuan lagi ketika membentangkan Belanjawan 2021 baru-baru ini.

Antaranya menaikkan bantuan bulanan OKU tidak berupaya bekerja daripada RM250 kepada RM300; kadar elaun pekerja OKU naik daripada RM400 kepada RM450 serta bantuan penjagaan OKU naik daripada RM350 kepada RM500.

Kerajaan sebelum ini telah pun melaksanakan Bantuan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) melibatkan peruntukan RM250 bilion pada Mac tahun lepas dan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN Tambahan) sebanyak RM10 bilion pada April tahun lepas.

Pada 18 Januari tahun ini pula kerajaan telah memperkenalkan Pakej Bantuan Khas PERMAI 2021. Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI 2021) ini bernilai RM15 bilion. Sebanyak 22 inisiatif diperkenalkan di dalam pakej ini.

Antaranya ialah moratorium, termasuk lanjutan moratorium, dan pengurangan ansuran pinjaman akan ditawarkan oleh bank-bank, seperti yang diumumkan sebelum ini; iSinar; Program Bakul Makanan JKM bernilai RM100 ringgit bagi setiap isi rumah yang layak; Bayaran fasa terakhir BPN 2.0 akan dipercepatkan iaitu mulai 21 Januari;

Selain itu Program Subsidi Upah 3.0 di bawah PERKESO bagi semua majikan yang beroperasi semasa PKP layak untuk memohon tanpa mengambil kira sektor dan juga bantuan sekaligus RM500 kepada pemandu pelancong, pemandu teksi serta pemandu bas sekolah, bas persiaran, kereta sewa dan e-hailing. Itu sebahagian daripadanya.

Walau pun akhir-akhir ini ada pihak yang cuba memburuk-burukkan kerajaan PN dengan mendedahkan jumlah pinjaman kerajaan yang semakin meningkat namun kita harus faham bahawa kerajaan berada di dalam situasi yang tidak pernah dihadapi sebelum ini. Semua kerajaan di dunia ini sedang berhadapan dengan situasi kekurangan hasil tetapi terpaksa berbelanja besar untuk membantu rakyat.

PH semasa mula-mula berlaku pandemik Covid-19 mereka mula mendesak kerajaan PN untuk memberi bantuan sebanyak RM1500 kepada rakyat. Mereka ingat Muhyiddin tidak akan mampu melakukannya. Namun mereka terkejut apa Muhyiddin akhirnya mengumumkan pakej ransangan dan bantuan untuk rakyat.

Apabila Muhyiddin berjaya memberi bantuan, mereka persoalkan pula mana kerajaan dapat duit untuk memberi bantuan. Akhirnya bila sudah habis ikhtiar mereka dakwa pula duit yang banyak itu adalah wang yang dikumpulkan hasil penjimatan kerajaan PH. Memang PH tak tahu malu! Nak sangat kredit? Ambillah PH…! Ambillah!

Penulis adalah Ketua Editor CPP-Berita PAS, Jabatan Penerangan PAS Pusat dan Ketua Unit Berita dan WARM, Jabatan Penerangan PAS Melaka.

Rencana ini juga disiarkan di Harakah (cetak) pada 26 April 2021 bilangan 2644

 

 

AKIKAH MAKKAH EMRANSYAH

 

.         SAMBAL IBU SARI        .