Kenyataan Media PAS Kawasan Masjid Tanah
Perutusan Tahniah Di Atas Pelantikan Tuan Yang Terutama Tun Datuk Seri (Dr) Mohamad Ali Rustam sebagai Yang Dipertua Negeri Melaka yang ke-7.
Selaras dengan kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1957 telah diwujudkan jawatan Yang Dipertua Negeri sebagai Ketua Negeri untuk bekas Negeri-negeri Selat, iaitu Melaka dan Pulau Pinang. Sebelum tahun 1975, jawatan ini dipanggil sebagai Gabenor.
Negeri Melaka suatu masa dahulu terkenal dengan Empayar Kesultanan Melayu Melaka yang mentadbir sebahagian besar Semenanjung Tanah Melayu. Namun dengan kedatangan penjajah Portugis dan silih berganti dengan penjajah-penjajah lain akhirnya Melaka yang dulu terkenal dengan kesultanannya yang agung akhirnya menjadi negeri tidak bersultan. Itulah sejarahnya Negeri Melaka sudah tidak beraja lagi.
Semenjak mula jawatan Yang Dipertua Negeri Melaka atau gabenor ini wujud, sudah ada enam orang tokoh yang dilantik sebagai Tuan Yang Terutama Negeri Melaka. Malangnya belum ada lagi anak jati Melaka yang diberi peluang menjawat jawatan ini.
Namun, selepas 63 tahun merdeka, Melaka akhirnya dapat melihat seorang tokoh anak jati Melaka sendiri dilantik ke jawatan yang sangat penting dan berprestij ini.
Sebagai sebahagian daripada rakyat marhaen Negeri Melaka kami turut berasa sukacita dan bangga atas pelantikan Tuan Yang Terutama Tun Datuk Seri (Dr) Mohamad Ali Rustam sebagai Yang Dipertua Negeri Melaka yang ke-7.
Kami percaya dengan pengalaman luas Tun dalam pentadbiran kerajaan sebelum ini akan Tun gunakan sebaiknya untuk membawa Melaka ke era gemilang.
Saya mewakili seluruh kepimpinan dan ahli PAS Kawasan Masjid Tanah dengan ini mengucapkan jutaan tahniah di atas perlantikan Tuan Yang Terutama Tun Datuk Seri (Dr) Mohamad Ali Rustam sebagai Yang Dipertua Negeri Melaka yang baharu.
Kapal dagang dari Batam
Sarat muatan kayu meranti
Selamat berkhidmat TYT Tun Ali Rustam
Rakyat Melaka sudah lama menanti.