Kenyataan Media
Parti Islam Se-Malaysia (PAS)
Pilihan Raya Kecil Tanjung Piai : PH Gula-Gulakan Pengundi?
Parti Islam Se-Malaysia (PAS) menempelak sikap Pakatan Harapan (PH) yang secara jelas menggula-gulakan pengundi Tanjung Piai dengan pengumuman projek-projek segera.
PH terpaksa mencabul prinsipnya sendiri demi untuk meraih sokongan pengundi ekoran prestasi pentadbirannya selama 17 bulan sangat mengecewakan. Tambahan pula, Belanjawan 2020 yang telah diumumkan pada 11 Oktober lalu hanya meneruskan kerangka lama yang tiada faktor ‘wow’ kepada rakyat.
Tanpa rasa malu, PH telah mengumumkan lebih RM7 juta peruntukan di kawasan parlimen tersebut. Ia termasuk RM4 juta untuk menaik taraf kemudahan sukan dan rekreasi. Ditambah lagi dengan RM3 juta untuk menaik taraf jeti nelayan dan terkini penyerahan sejumlah RM230,000 kepada 23 Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK).
Pengumuman projek-projek segera untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) bukan satu perkara baru. Sepanjang PRK yang diadakan pasca PRU Ke-14 lalu, PH melakukan strategi yang sama walaupun telah ditegur berkali-kali oleh pelbagai pihak termasuk SPR sendiri. Malah, PH dijangka akan mengulangi skrip kempen yang sama seperti ancaman dakyah perpecahan kaum, 1MDB, kerjasama PAS-UMNO dan kleptokrasi.
Para pengundi harus sedar bahawa PH tidak mengutamakan kepentingan rakyat, sebaliknya sibuk berbincang mengenai peralihan kuasa, berbalah sesama sendiri, menyebar fahaman liberal, menggugat asas-asas negara dan gagal menyelesaikan beberapa isu utama seperti pencemaran sisa kimia di Pasir Gudang dan pemansuhan tol di Simpang Renggam.
PAS menyeru rakyat agar berfikiran matang untuk menilai strategi pembodohan PH yang telah dimainkan. Rakyat pelbagai kaum sudah mula menunjukkan ‘mood’ penolakan selepas satu demi satu penipuan dan pengkhianatan janji telah dilakukan oleh PH.
Jangan sesekali mengharap PH akan membawa reformasi politik, jika janji sebelum ini dimungkiri.
‘Islam Memimpin Perpaduan’
‘Muafakat Nasional, Membina Malaysia Sejahtera’
KAMARUZAMAN MOHAMAD
Ketua Penerangan
Parti Islam SeMalaysia (PAS)
23 Oktober 2019 | 24 Safar 1441