KOTA BHARU: Rakyat tidak mempunyai pilihan lain lagi dalam suasana politik negara sekarang melainkan bernaung di bawah payung Islam dan Melayu.
Setiausaha Badan Perhubungan PAS Kelantan Dato’ Che Abdullah Mat Nawi berkata, Islam begitu terancam sekarang.
“Maka umat Islam khususnya pendokong Islam mesti membuat keputusan yang tidak merugikan agama dan perjuangan orang Melayu,” katanya di sini.
Semalam berlangsung pertemuan rasmi antara PAS dan Umno bagi membincangkan hala tuju dan garis panduan kerjasama antara kedua-dua belah parti.
Mesyuarat tersebut diadakan di Ibu Pejabat Umno di Menara Datuk Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur.
PAS diketuai Timbalan Presiden Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man manakala Dato’ Seri Muhammad Hasan pula mengetuai Umno. – HARAKAHDAILY 6/3/2019
http://www.harakahdaily.net/index.php/berita/10037-rakyat-bernaung-di-bawah-payung-islam-melayu