Home Berita PAS Kelantan

Medan Ilmu: Pemimpin Umno langgar peraturan PBT

2536
SHARE

KOTA BHARU: Tindakan Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan, Dato’ Seri Mustapa Mohamed menamakan Medan Ilmu sebagai Dataran Tok Pa menyalahi peraturan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Anggota Exco kerajaan negeri, Dato’ Abdul Fattah Mahmood berkata, setiap nama jalan atau dataran di tempat awam perlu memohon kepada PBT terlebih dahulu.

Namun, katanya Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB BRI) tidak pernah menerima permohonan daripada menteri terbabit bagi menamakan dataran terbabit dengan namanya.

“Mana-mana pihak yang mahu menamakan jalan atau dataran perlu terlebih dahulu membuat permohonan kepada PBT.

“Jadi apa yang berlaku semalam jelas melanggar peraturan PBT apabila tiba-tiba dilekat nama Dataran Tok Pa pada tugu yang dibina.

“Sedangkan dataran itu sudah dikenali sebagai Medan Ilmu sejak 2005,” katanya dihubungi di Kuching, Sarawak.

Semalam Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan merasmikan Dataran Tok Pa dan Astaka Padang Perdana di Jalan Dato’ Pati, Kota Bharu.

Abdul Fattah juga berkata, Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) ada mengundang pegawai MPKB BRI hadir pada program berkenaan semalam, namun mereka tidak hadir.

Malah orang ramai juga menganggap tindakan pemimpin Umno terbabit menamakan dataran terbabit dengan namanya sebagai ‘hidung tak mancung pipi tersorong-sorong’.

“Pemimpin Umno seperti bankrap idea sehingga menamakan semula Medan Ilmu yang sudah dikenali umum sejak lebih 10 tahun lepas dengan namanya sendiri,” kata bekas guru Wan Abdul Halim Wan Yusof.

Sebelum ini Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan mengindahkan Medan Ilmu di Jalan Dato’ Pati dengan memasang bata merah membabitkan kos kira-kira RM450,000. – HARAKAHDAILY 15/4/2018