SABDA Rasulullah S.A.W:
إن الناس إذا رأوا الظالم فلم يأخذوا على يديه أو شك أن يعمهم الله بعقاب منه
Maksudnya: “Sesungguhnya manusia apabila melihat orang zalim, namun tidak menghalang perbuatannya, hampir Allah akan meliputi mereka dengan hukuman daripada-Nya.” (Riwayat Abu Daud dan Al-Tirmizi)
Saya berserta seluruh saff kepimpinan Kerajaan Negeri Kelantan mengucapkan tahniah dan syabas kepada seluruh anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sempena Sambutan Hari Polis Ke-211.
Sesungguhnya tugas polis adalah suatu kerja yang mulia kerana menjaga keamanan negara dan keselamatan rakyat. Dengan gerak kerja yang dilaksanakan oleh polis ini, ianya dapat menghindarkan masyarakat daripada kemungkaran dan jenayah. Islam sebagai agama keamanan sentiasa mengutamakan jaminan keselamatan dan kesejahteraan kepada masyarakat.
Semoga seluruh anggota polis dapat meneruskan tanggungjawab dan menjalankan tugas dengan penuh integriti demi rakyat tanpa bias kepada mana-mana pihak. Sentiasalah bersama masyarakat khasnya dalam membendung jenayah yang agak berleluasa agar kepercayaan rakyat kepada pihak polis dapat kekal terpelihara.
Sekali lagi tahniah dan terima kasih kepada anggota polis diatas pengorbanan yang telah dicurahkan. Saya berharap semua anggota PDRM dapat meneruskan tugasan dengan penuh ikhlas kerana Allah SWT, agar ianya menjadi amal soleh untuk kejayaan hidup dunia dan akhirat.
“Merakyat Membangun Bersama Islam”
“Kelantan Sejahtera Untuk Islam”
YAB Ustaz Dato’ Bentara Kanan
Menteri Besar Kelantan
7 Rejab 1439H/25 Mac 2018M – HARAKAHDAILY 25/3/2018