Home Berita PAS Kelantan

55 pasangan penerima Skim Az-Ziwaj diraikan dalam majlis

192
SHARE

KOTA BHARU, 18 Dis: Seramai 55 pasangan pengantin yang menerima Skim Az-Ziwaj dari seluruh negeri Kelantan dirai dalam Majlis Raikan Cinta Perdana Tahun 2021 di Grand Renai Hotel Kota Bharu hari ini.

Program anjuran Urus Setia Belia dan Sukan Negeri Kelantan (UBeS) ini telah berlangsung selama sehari dan dimulakan dengan taklimat khas Buku Panduan Keluarga Mawaddah oleh Ustazah Asmak Husin serta diisi dengan slot Santai Selogho oleh Pegawai Agama jajahan Kota Bharu Ustaz Fadli Sulaiman yang bertajuk ‘Semanis Cinta Seharum Syurga’.

Berucap semasa majlis perasmian, Timbalan Menteri Besar YB Dato Mohd Amar Abdullah berkata “pasangan pengantin yang berkahwin akan melalui tiga tahap. Tahap yang pertama setiap pasangan akan merasakan tenang dalam hidupnya kerana ada tempat bergantung dan mengadu. Tahap kedua ialah rasa mawwadah iaitu kasih sayang hidup berkeluarga dan tahap ketiga apabila meniti usia tua ialah rahmat iaitu rasa belas kasihan terhadap pasangan masing-masing atas pengorbanan yang diberikan sepanjang hidup dan sekaligus menjadikan rumah tangga itu kekal buat selamanya.”

Terdahulu program ini telah diadakan sebanyak empat kali secara virtual kerana faktor pandemik dan hari ini adalah acara kemuncak bagi tahun 2021 yang diadakan secara fizikal.

Upacara perasmian majlis telah disempurnakan oleh YAB Timbalan Menteri Besar dengan acara memotong pulut kuning yang disusun secara bertingkat sebanyak 31 lapisan pulut yang dihasilkan dengan menggunakan 31 kilogram beras pulut sebagai simbolik 31 tahun dasar Membangun Bersama Islam.

Dalam majlis yang sama, enam pasangan telah menerima hadiah kerana terpilih sebagai Pasangan Istimewa Pilihan serta dua pasangan lagi terpilih dalam cabutan bertuah yang mendapat pakej bulan madu yang bernilai RM500.

Turut hadir, ialah Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan YB Dato’ Abdullah Ya’kub dan isteri, Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan YB Dato’ Abdul Fattah Mahmood, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO Negeri Kelantan YB Ustaz Wan Roslan Wan Hamat dan tetamu kehormat yang lain.