Home Kenyataan Media PAS Kelantan

Kenyataan Media Menteri Besar Kelantan

50
SHARE

Situasi Banjir: Jentera Kerajaan Siap Siaga, Rakyat Diseru Waspada Dan Patuh Arahan Keselamatan.

1. Laporan ramalan cuaca yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia pada 18 Disember 2021 jam 5.00 petang menunjukkan hampir seluruh jajahan di negeri Kelantan akan mengalami tahap hujan secara berterusan terutama di bahagian selatan Kelantan.

2. Bilik Gerakan Banjir setiap jajahan yang terlibat sudah berada keadaan siap sedia dengan kerjasama bersepadu pasukan-pasukan keselamatan termasuk pasukan sukarelawan untuk memastikan proses pemindahan dan agihan bantuan banjir berjalan lancar.

3. Sehingga jam 2.52 petang tadi, sebanyak 23 pusat pemindahan banjir (PPS) daripada 5 daerah telah dibuka. Ianya melibatkan 1,535 mangsa banjir daripada 353 keluarga.

4. Saya juga telah mengarahkan kepada semua wakil rakyat terutama di kawasan berisiko banjir supaya sentiasa berada keadaan siap sedia untuk membantu semua mangsa banjir dengan penyelarasan bersama daripada Pusat Kawalan Operasi Bencana Jajahan (PKOB).

5. Rakyat Kelantan terutama mangsa banjir tidak mengambil mudah setiap arahan dan panduan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa terutamanya melibatkan arahan untuk berpindah. Apabila arahan berpindah dikeluarkan, hendaklah semua pihak mengambil langkah segera untuk berpindah dan sebolehnya dilaksanakan sebelum waktu maghrib. Dalam keadaan kita belum bebas daripada penularan wabak COVID-19, tingkatkan kawalan kendiri, pastikan SOP sentiasa dipatuhi terutama ketika berada di pusat pemindahan.

6. Saya menyeru kepada seluruh rakyat Negeri Kelantan supaya melakukan solat hajat dan berdoa kepada Allah SWT supaya negeri kita tidak dilanda dengan banjir besar.

Dato’ Bentara Kanan
Ustaz Dato’ Haji Ahmad Bin Yakob
Menteri Besar Kelantan
13 Jamadil Awal 1443H / 18 Disember 2021