Home Berita PAS Kelantan

300 perantau hadiri Majlis Ihya’ Ramadan Zon Selatan

140
SHARE

JOHOR BHARU, 10 April: Setelah dua tahun menyepi, kini program rutin pemimpin Kerajaan Negeri Kelantan bersama perantau kembali menyinar apabila 300 anak Kelantan di perantauan hadir dalam Majlis Ihya Ramadan Zon Selatan di Dewan Ping Pong, Taman Daya, Johor Bharu, Jumaat lalu.
Program tersebut dianjurkan Urus Setia Penerangan dan Komunikasi Negeri Kelantan (UPKN) melalui Unit Hubungan Seranta dengan kerjasama Persatuan Anak Kelantan Perantauan (PERAKAN).

Selain berbuka puasa dan solat tarawih bersama pemimpin, majlis terlebih dahulu diserikan dengan sesi kupasan ayat tadarus yang disampaikan oleh Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tawang, YB Dato’ Ustaz Hassan Mahmmod sebelum disempurnakan majlis perasmiannya oleh Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita, YB Dato’ Mumtaz Md Nawi.

“Beza Negeri Kelantan dengan negeri-negeri lain di Malaysia ialah Negeri Kelantan ditadbir dengan Membangun Bersama Islam (MBI) atas kerangka berasaskan syariah bersumberkan al-Quran dan as-Sunnah.

“Hari ini apabila Kerajaan Negeri bersama dalam Kerajaan Persekutuan, Bulan Solat yang diamalkan di Kelantan dijadikan Bulan Solat di peringkat Malaysia,” ujarnya ketika merasmikan majlis.

Beliau juga berkata, MBI bukan hanya pada Menteri Besar (pemerintah) tetapi turut melibatkan penjawat awam dengan penerapan konsep Ubudiyah, Mas’uliyah, Itqan (UMI) dan hasil ini dapat dilihat, dalam tempoh lebih 30 tahun Kerajaan Negeri mentadbir Kelantan, belum ada pimpinan yang disabitkan dengan salah laku rasuah.

Majlis juga turut diakhiri dengan tazkirah yang disampaikan oleh Pengarah UPKN merangkap ADUN Cempaka, YB Ustaz Ahmad Fathan Mahmood.

Turut hadir ialah Ahli Parlimen Tumpat, YB Dato’ Che Abdullah Mat Nawi, Ahli Dewan Negara, YB Senator Apandi Mohammad, ADUN Pasir Tumboh, ADUN Pulai Chondong, ADUN Dabong, ADUN Semerak dan Presiden PERAKAN Dato’ Wan Aminuddin Wan Hussin.