Home Berita PAS Kelantan

29 Tahun Kerajaan Islam Kelantan : Sebuah Lakaran Kejayaan

3844
SHARE

*21 Oktober 1990 – 21 Oktober 2019*

*Siri 1 : Tribut Buat Almarhum Tok Guru Nik Aziz*

‎فَإِذَا اسْتَوَيْتَ أَنْتَ وَمَنْ مَعَكَ عَلَى الْفُلْكِ فَقُلِ الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي نَجَّانَا مِنَ الْقَوْمِ الظَّالِمِينَ

_Apabila kamu dan orang-orang yang bersamamu telah berada di atas bahtera itu, maka ucapkanlah: “Segala puji bagi Allah yang telah menyelamatkan kami dari orang-orang yang zalim”_ *(Al-Mu’minun : 28)*

*Jatuh Bangun Bersama Gelombang Rakyat*

ALHAMDULILLAH. Tiada kata yang lebih indah untuk diucapkan sempena sambutan 29 tahun pemerintahan Kerajaan Islam Negeri Kelantan yang kita kasihi, beberapa hari lagi. Semenjak 21 Oktober tahun 1990 telah kita corakkan Tanah Serendah Sekebun Bunga ini apabila berjaya menawannya daripada Barisan Nasional dengan koliasi Angkatan Perpaduan Ummah. Penggal pertama ini berakhir pada 5 April 1995.

Penggal kedua PAS mentadbir Kelantan telah berlaku krisis apabila Parti Melayu Semangat 46 dibubarkan pada Mei 1996. Walaupun dalam pilihanraya 25 April 1995, rakyat sekali lagi telah memilih PAS dan ‘gabungan 1990’, namun Kelantan akhirnya ditadbir sendirian oleh PAS sehingga 11 November 1999. Kejayaan memimpin negeri tadahan wahyu ini menarik minat dan cinta rakyat untuk terus memilih PAS pada 29 November 1999 dan menerajui Kelantan sehingga 4 Mac 2004.

Gelora politik datang silih berganti. Meskipun berdepan dengan aura dan sentimen “Mr Nice Guy” Abdullah Ahmad Badawi yang meninggalkan PAS dengan hanya majoriti satu kerusi dan dua undi di Kelantan, namun PAS terus mentadbir pada 21 Mac 2004 sehingga 13 Febuari 2008.

PAS kembali gagah pada 8 Mac 2008 pada PRU yang keduabelas dan disambung terus dengan kecemerlangan pada dua penggal berikutnya iaitu pada PRU-13 dan PRU-14. Ia umpama sebatinya jiwa rakyat negeri ini dengan pemerintahan Islam PAS.

*Arkitek Ulung Politik Moden Kelantan*

Sejak awal Tok Guru Nik Aziz memimpin Kelantan, telah banyak pembaharuan yang dilakukan sehingga masyhur disebut “Kelantan Menerajui Perubahan”. Malahan banyak pula kejayaan Kelantan akhirnya ditiru oleh Kerajaan Pusat.

Awal sekali adalah Tok Guru mengasingkan akaun halal dan haram bagi memudahkan urusan perbelanjaan Kerajaan Negeri untuk disesuaikan dengan sumber pendapatan tersebut. Ia bagi merealisasikan tuntutan Islam dalam usaha mencari pendapatan yang halal justeru akan meningkatkan keberkatan dalam pentadbiran.

Tok Guru juga membuat pemindahan akaun simpanan tetap kerajaan daripada sistem perbankan riba kepada sistem perbankan Islam. Ini jelas usaha serius kerajaan bagi membersihkan kewangan negeri daripada unsur riba yang dimurkai Allah SWT. Juga dilancarkan pinjaman secara Islam kepada kakitangan kerajaan tanpa faedah, juga untuk mengelakkan riba. Hal ini sebagai penghargaan kepada kakitangan awam yang banyak membantu dalam menjalankan urusan pentadbiran negeri.

Almarhum seterusnya menubuhkan sistem Ar Rahn sebagai galakan kepada orang Islam berurusan dalam hal pajak gadai menurut aturan syariat. Kemudiannya beliau membangunkan Tabung Serambi Mekah bagi membantu rakyat di dalam kesusahan, kecemasan dan bencana. Kejayaan lain adalah pelancaran Tabung Amanah Tok Kenali bagi menjalankan program program pembangunan Islam, pendidikan insan, mengutamakan kebajikan kepada golongan yang dhaif serta rakyat yang mengalami masalah kesihatan.

Era awal ini juga menyaksikan Tok Guru telah memperkenalkan Skim Takaful Kifaalah yang memberi peruntukan khusus melibatkan semua warga emas di negeri ini. Sumbangan wang tunai diberikan kepada waris agar dapat meringankan bebanan keluarga ketika urusan pengebumian jenazah serta urusan selanjutnya.

Kerajaan turut memperkenalkan dasar dan polisi perumahan dengan rumah tiga bilik. Ia cukup rasional untuk seisi keluarga dengan bilik untuk ibubapa, anak lelaki dan juga anak perempuan. Ini akan menyediakan rumahtangga yang aman, selesa dan bahagia untuk keluarga muslim.

*Cakna dan Kasih Pada Yang Miskin*

Perkara lain adalah mengenai Rumah Dhuafat yang mana sejumlah RM30,000 telah diperuntukkan kepada rakyat yang dhaif di semua DUN. Mereka yang tidak mampu memiliki rumah dibantu sebaiknya oleh kerajaan negeri. Manakala bagi menaikkan pendapatan masyarakat desa, program Jihad Ternak telah dilancarkan untuk meningkatkan pengeluaran daging dan susu bagi mencapai keperluan serta pasaran tempatan.

Golongan berpendapatan rendah disarankan untuk terus berjuang demi survival keluarga masing masing. Kerajaan menggalakkan mereka berniaga melalui Gerakan Rakyat Berdikari dan pelbagai skim serta bantuan sokongan yang lainnya. Ini amat sesuai dan sinonim dengan jiwa orang Kelantan yang gemar berniaga dan berusaha dengan kemampuan diri mereka sendiri di mana mana sahaja mereka berada.

*Perjuangan Menegakkan Syariat*

Antara benda heboh pada awal zaman Tok Guru adalah mengenai penutupan premis premis judi di Kelantan. Aktiviti yang memudaratkan dan dilarang semua agama ini telah dihapuskan oleh kerajaan PAS Kelantan. Hotel dan restoran pula dilarang menjual, menyaji arak di tempat awam kerana pengambilan bahan yang memabukkan ini telah jelas terbukti menjadi pendorong kepada banyak kegiatan jenayah dan maksiat. Kelantan pada era tersebut tidak lagi mengeluarkan lesen premis kepada pusat pusat hiburan yang melalaikan. Dan secara alternatifnya, Gelanggang Seni telah disediakan sebagai pusat pertunjukan seni budaya tempatan.

Kerajaan seterusnya meluluskan Enakmen Kawalan Hiburan Negeri 1998 bagi menerapkan nilai nilai keislaman dalam setiap persembahan serta mengelak amalan khurafat dan tahyul melalui hiburan wayang kulit, makyong, main puteri dan seumpamanya. Akhirnya rakyat negeri ini semakin hari dapat menerima saranan dan aturan yang ditetapkan oleh kerajaan.

*Kasih Tok Guru Kepada Kaum Hawa*

Almarhum Tok Guru juga pernah mengarahkan agar dibuat pengawalan kedai gunting bagi mengelakkan wanita menggunting rambut lelaki serta mewujudkan kaunter pembayaran berasingan bagi lelaki dan wanita di pasar pasar raya. Majlis majlis rasmi dan keraian pula, kedudukan hadirin lelaki dan wanita mulai diasingkan. Ini semua bagi melihat maruah umat Islam khasnya wanita sentiasa dipandang tinggi.

Bercakap soal kesihatan rakyat, Kerajaan Kelantan telah memperkenalkan Hospital An Nisa iaitu hospital bersalin pertama di negeri ini yang dikendalikan sepenuhnya oleh kakitangan wanita. Dan para ibu yang melahirkan anak di negeri ini pula diberikan cuti sehingga 60 hari pada waktu tersebut. Keselesaan dan kesihatan ibu diutamakan justeru mampu memberi kerehatan yang secukupnya kepada mereka. Inilah dia Tok Guru yang saban waktu memikirkan kebajikan rakyatnya.

Demi menjaga maruah kaum wanita secara umum pula, Tok Guru telah menguatkuasakan Etika Pemakaian Islam bagi menepati tuntutan hukum agama. Papan papan tanda iklan yang memperagakan wanita dan yang menonjolkan aurat telah dilarang sama sekali. Maruah dan moral wanita bukanlah barang dagangan serta harus dipelihara kecantikan dan kelembutan mereka.

Isu perkembangan dan keutamaan terhadap keluarga turut diberi perhatian oleh Tok Guru. Beliau telah menetapkan hanya lima hari sahaja bekerja dalam seminggu bagi menggalakkan rakyat menghadiri majlis majlis ilmu pada hari Jumaat manakala hari Sabtu adalah hari yang harus diperuntukkan kepada keluarga dan anak anak.

*Rai dan Hormat Semua Golongan*

Bagi meneruskan kesinambungan antara kaum wanita dan kerajaan negeri, para penghulu wanita telah dilantik di semua jajahan. Ia sekaligus memberi peranan dan tanggungjawab yang lebih menyeluruh kepada kaum hawa berhubung kepentingan masyarakat. Satu perkara lagi adalah perlantikan Penghulu Tanpa Mukim yang melibatkan kaum Cina, Siam, Orang Asli dan India di Kelantan. Ia mampu memberi kerjasama erat, perpaduan kaum dan keharmonian melalui penghulu masing masing.

Tidak cukup dengan itu, kaum Cina, India, Siam dan Orang Asli turut dilantik sebagai Ahli Majlis Kerajaan Tempatan. Mereka telah turut sama menjadi suara kepada masyarakat yang diwakilinya dalam arus kemajuan dan pembangunan negeri.

*Membangun Bersama Islam*

Di Kelantan pada era berkenaan, hotel dan rumah rumah penginapan diarahkan menurut konsep pengurusan Islam. Kakitangan wanita diwajibkan menutup aurat, penyediaan kemudahan solat berjemaah dan tunjuk arah kiblat serta hotel harus membasmi perlakuan maksiat serta kemungkaran.

Berkaitan bangunan juga, pada era Tok Guru telah ditetapkan semua bangunan baru yang akan dibina perlulah bercirikan senibina Islam bagi menepati konsep “Membangun Bersama Islam”. Ia adalah usaha keseragaman dalam pembangunan bercirikan agama.

Pembangunan ekonomi negeri dirancakkan dengan pelancaran dinar dan dirham Kelantan. Nilai dinar ini tidak akan susut, amat sesuai sebagai tabungan yang kalis inflasi serta laku di seluruh pelusuk dunia. Antara lain Tok Guru turut mengumumkan Skim Galakan Tanaman Pokok Karas bertujuan meningkatkan taraf sosio-ekonomi penduduk setempat disamping meningkatkan produktiviti tanah kosong di persekitaran rumah rakyat.

*Murabbi Ummah Sepanjang Zaman*

Tok Guru selamanya diingati sebagai Murabbi Ummah. Beliau cukup komited dalam bidang pendidikan kepada rakyat negeri ini. Penubuhan Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) yang bertaraf universiti adalah antara yang cukup memberi kesan. Ia bertujuan menampung keperluan pendidikan tinggi yang berteraskan ajaran Islam, melahirkan generasi berpendidikan tinggi dan sebagai tanggungjawab kerajaan menyediakan pendidikan secukupnya kepada rakyat.

Maahad Tahfiz Al Quran Pulai Chondong ditubuhkan bagi melahirkan generasi celik Al Quran secara bersistematik dan Maahad Tahfiz Sains dibangunkan untuk melahirkan generasi yang berpengetahuan dalam bidang Sains Teknologi sesuai dengan saranan agama.

Pusat Pembangunan Pondok Berhad dilancarkan bagi mempertahan dan memajukan institusi pondok sebagai salah satu sistem pendidikan alternatif yang berjaya di nusantara. Kolej Pondok Darul Naim Pasir Tumboh turut dimajukan sebagai pusat lanjutan untuk lepasan pondok yang bercadang melanjutkan pengajian ke pusat pengajian tinggi di dalam atau luar negara. Kelas Aliran Sains Tulen pula dibuka di Maahad Muhammadi Lelaki dan Perempuan bagi mewujudkan keseimbangan antara pendidikan agama dan akademik.

Bagi membangun dan memajukan lagi program bersifat islamik di Kelantan, Tok Guru telah memulakan Sambutan Hari Hudud bagi memberi kesedaran kepada masyarakat tentang pentingnya menegakkan hukum Islam bersumberkan Al Quran, As Sunnah, Ijmak dan Qias. Seterusnya diadakan juga Sambutan Bulan Sembahyang yang bertindak untuk memberi kesedaran kepada remaja dan kaum belia khususnya tentang tuntutan mengerjakan solat.

Program mengimarahkan masjid bagi meningkatkan aktiviti ibadah serta mengembalikan peranan masjid sebagai pusat kemasyarakatan juga dilaksanakan. Begitu juga dengan Program Ihya’ Ramadhan yang begitu sinonim dengan rakyat negeri ini. Ia bermatlamat merealisasikan fadhilat bulan Ramadhan sebagai penghulu segala bulan.

Kerajaan Negeri turut menubuhkan Unit Dakwah Halaqat yang bertujuan memberi perkhidmatan dalam aktiviti dakwah kepada semua golongan dengan menganjurkan ceramah serta kursus kursus. Selaras itu juga Kempen Menutup Aurat dijalankan disemua jajahan dalam negeri ini.

Tulisan jawi dimartabatkan dan ia menjadi syarat kepada setiap premis dan juga di papan papan iklan. Ia adalah satu warisan Islam dan membawa identiti umat Islam yang wajib dijaga oleh kita semua.

Kota Bharu akhirnya diisytiharkan sebagai Bandaraya Islam dalam usaha kerajaan mewujudkan sebuah bandar raya yang bercirikan agama menepati slogan “Membangun Bersama Islam” selari dengan pengurusan serta pentadbiran yang telus dan bersulamkan taqwa.

Itu antara secebis catatan buat memperingati Almarhum Tok Guru Nik Aziz sewaktu awal pemerintahan PAS di Kelantan. Kalau mahu dinukilkan, ribuan lagi pembaharuan dan kebaikan yang telah diperkenalkan oleh Tok Guru Nik Aziz Nik Mat. Kecemerlangan negeri ini kini disambung pula oleh YAB Dato’ Bentara Kanan Ustaz Haji Ahmad bin Yakob. (Bersambung)

*Nazman Che Iberahim*
Timbalan Pengarah Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri Kelantan- 14 Okt 2019