Home Uncategorized

Muslimat dan Wanita Selangor bentuk PRUWANIS di semua Parlimen

157 views
SHARE

Oleh: Nor Zarina Mohd Azhar

SHAH ALAM: Jawatankuasa Penyatuan Ummah Wanita Selangor (PRUWANIS) telah mengadakan Majlis Tautan Mahabah Muslimat PAS dan Wanita Umno di Pejabat Perhubungan Umno Negeri Selangor, di sini semalam.

Pertemuan ini menjadi kesinambungan peristiwa bersejarah bagi negara yang telah genap sebulan dari Himpunan Penyatuan Ummah (HPU914) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur, 14 September lepas.

Program julung kali ini melibatkan semua Ketua Muslimat PAS Kawasan dan Ketua Wanita Umno Bahagian serta persatuan khusus para isteri pimpinan PAS iaitu Nadi Al-Azwaj dan juga KASIH bagi isteri pimpinan Umno.

Malah, Pesuruhjaya PAS, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi hadir dengan isteri yang juga Pengerusi Nadi Al-Azwaj, Datin Halina Sairuji, manakala Pengerusi Umno, Dato’ Mat Nadzari Ahmad Dahlan bersama isteri, Datin Suhada Ramli selaku Pengerusi KASIH.

Himpunan ini bertujuan memperkenalkan kepimpinan PRUWANIS, seterusnya supaya struktur sama turut dibentuk oleh Muslimat PAS Kawasan bersama Wanita Umno Bahagian di Parlimen masing-masing.

Ketua Muslimat PAS Selangor, Ustazah Wan Hasrina Wan Hasan menyeru kedua pihak menggiatkan usaha agar rakyat khususnya kaum wanita mendukung agenda dibawa PAS dan Umno dengan ikatan rohani.

Jelasnya, perkara tersebut akan dapat dicapai dengan Muslimat PAS dan Wanita Umno memperkasa dan meluaskan program Munajat AKIFI menerusi penganjuran ke setiap Parlimen dan Dun seluruh negeri ini.

Manakala Ketua Wanita Umno Selangor, Dato’ Rosni Sohar menegaskan pentingnya watak ibu diperanankan oleh Wanita dan Muslimat ke arah menyelamatkan anak bangsa dari tergadai akidah dan maruah.

Beliau turut mengajak untuk Wanita Umno memberi kesediaan mereka berlapang dada dan belajar daripada Muslimat PAS untuk bergerak kerja dalam kedudukan sebagai parti bukan kerajaan ketika ini.

Sementara itu, Dato’ Dr Yunus dalam ucapannya mengingatkan bahawa usaha kedua pihak bukan sekadar di atas kertas, tetapi untuk memperbaiki semula negara dengan tindakan membela agama dan bangsa.

Dato’ Nadzari pula mengukir nasihat terhadap peranan Wanita dan Muslimat kepada agenda besar memberi kefahaman terhadap kepentingan agama kepada masyarakat khususnya anak-anak generasi baru.

Beliau juga menyeru Wanita Umno untuk sedia belajar dengan Muslimat PAS mengenai perkara berkaitan tarbiyah, adab dan akhlak.